YUSNITA BINTI YUNOS SMK DATUK MENTERI
Kajian ini dilaksanakan terhadap murid Tingkatan 5 yang mengambil mata pelajaran kimia di SMK Datuk Menteri dalam meningkatkan kemahiran menulis formula molekul dan formula struktur ester dengan betul. Seramai 7 orang murid telah terlibat dalam kajian ini. Tinjauan awal melalui kaedah pemerhatian dan ujian pra mendapati murid-murid ini sukar untuk menulis formula molekul ester dengan tepat begitu juga formula strukturnya. Murid-murid ini juga didapati keliru dengan tindak balas pengesteran yang melibatkan asid karboksilik dan alkohol. Kajian ini adalah satu usaha untuk membantu murid menangani isu dengan memperkenalkan Kaedah Lipat-Lipat Ester dalam kebiasaan baharu. Menerapkan unsur didik hibur dan pembelajaran secara ‘hands on’ serta ‘minds on’, kajian ini dibuat bagi memfokuskan peningkatan dalam kemahiran menulis formula molekul dan formula struktur ester. Bukan sahaja pelaksanaan kajian dijalankan secara hand on malahan video penerangan turut dikongsaikan. Melalui perkongsian video di saluran Youtube, kajian ini turut mengintegrasikan pembelajaran abad ke-21 dan pendidikan STEM. Hasil ujian pos menunjukkan terdapat peningkatan 100% dalam menulis formula molekul bagi ester dan formula strukturnya. Pemerhatian juga menunjukkan murid sangat gembira dan seronok sewaktu menjalankan aktiviti menggunakan kaedah yang dikongsikan. Kaedah yang menarik, ringkas dan mudah dikendalikan sememangnya mampu menarik minat dan meningkatkan motivasi murid dalam proses pembelajaran sama ada sesi pembelajaran dijalankan di dalam bilik darjah mahu pun di rumah. Kata kunci: ester, alkohol, asid karboksilik, formula molekul, formula struktur