NUR HAYATI BINTI MOHD SAEM KOLEJ VOKASIONAL MUAR
Projek ini mengetengahkan tentang mengaplikasikan teknik anyaman tradisional yang diinspirasikan daripada tikar mengkuang, digabungkan dengan elemen corak papan catur (chess board) dalam rekaan pakaian kasual yang berkonsepkan moden. Tikar mengkuang merupakan lambang seni warisan Melayu yang bukan sahaja mencerminkan ketelitian dan kesabaran dalam pembuatannya, malah turut membawa nilai estetika yang tinggi. Corak anyaman yang tersusun dan berulang pada tikar mengkuang dilihat mempunyai persamaan visual dengan susunan papan catur yang simetri, lalu menjadi inspirasi utama dalam menghasilkan rekaan yang segar dan kontemporari. Melalui gabungan elemen tradisional dan moden ini, projek ini bertujuan untuk menghasilkan rekaan pakaian kasual yang bukan sahaja bergaya dan relevan dengan kehendak pasaran masa kini, tetapi juga mampu mengetengahkan identiti budaya tempatan. Objektif utama projek ini adalah untuk mengaplikasikan teknik anyaman berinspirasikan tikar mengkuang ke dalam rekaan fesyen, di samping memperkenalkan semula seni kraftangan tradisional dalam bentuk yang lebih moden dan diterima oleh generasi muda. Selain itu, penggunaan corak papan catur juga membantu menambah nilai estetik serta keseimbangan visual pada setiap rekaan yang dihasilkan. Secara tidak langsung, projek ini diharap dapat membuka mata masyarakat terhadap kepentingan memelihara dan memartabatkan warisan seni tempatan melalui pendekatan kreatif dalam dunia fesyen.