ST2152: RELAU MINI RAWATAN HABA

MUHAMMAD SYAHIR ISMI BIN MOHAMAD SANI KOLEJ VOKASIONAL GERIK

Projek ini membangunkan sebuah Relau Mini Rawatan Haba bagi memenuhi keperluan pembelajaran amali pelajar dalam bidang kimpalan di Kolej Vokasional Gerik. Proses rawatan haba merupakan langkah penting dalam mengubah sifat mekanikal logam seperti kekerasan dan ketahanan melalui pemanasan terkawal serta penyejukan pantas menggunakan bendalir seperti air atau minyak. Namun, pelajar menghadapi kesukaran melaksanakannya kerana ketiadaan peralatan sesuai, ruang bengkel yang terhad, dan ketidakupayaan mendapatkan suhu yang tepat. Inovasi ini memperkenalkan relau mini bersaiz kompak dengan penebat haba seramik, sistem pemanasan berasaskan gas oksiasetilena, serta dilengkapi dengan termometer digital untuk kawalan suhu yang lebih tepat sehingga 1000°C. Reka bentuk mudah alih membolehkan ia digunakan di dalam dan luar bengkel dengan selamat dan efisien. Hasil pengujian menunjukkan relau ini mampu mencapai dan mengekalkan suhu yang konsisten dalam masa singkat, sesuai untuk ujian rawatan haba pelbagai jenis logam dan ketebalan. Soal selidik terhadap pelajar menunjukkan tahap kepuasan tinggi terhadap kemudahan, keselamatan dan keberkesanan relau ini. Inovasi ini memberi impak langsung dalam meningkatkan pemahaman pelajar terhadap konsep rawatan haba serta memperkukuh kemahiran teknikal mereka dalam suasana pembelajaran sebenar. Dengan kos pembuatan sekitar RM615 dan penggunaan bahan tempatan, relau mini ini mempunyai potensi tinggi untuk dikomersialkan kepada institusi TVET, pusat latihan, serta bengkel logam kecil sebagai alternatif relau industri yang lebih mahal.