JS2020: GBC : GREEN BITE CRISPY

MUHAMMAD RIFQI RAYYAN BIN SAIFUL SK SUNGAI KELAMBU

VIC25 | Junior Scientist

CR: 0.0000 | 0 Likes | 21 Views | 17 times | LS: 17.0
Like it? | Support them now!

ABSTRAK
GREEN BITE CRISPY

 

Pemakanan seimbang yang merangkumi pengambilan sayur-sayuran merupakan elemen penting dalam pertumbuhan dan perkembangan murid. Namun, dapatan pemerhatian dan soal selidik dalam kalangan murid sekolah rendah menunjukkan bahawa majoriti murid menolak pengambilan sayur kerana rasa yang kurang digemari, tekstur yang lembik, serta persepsi negatif terhadap sayur-sayuran berdaun seperti sawi dan kobis. Pada masa yang sama, berlaku lambakan hasil tanaman sayur-sayuran daripada kebun sekolah dan komuniti sekitar yang tidak dimanfaatkan secara optimum, sekali gus menyumbang kepada pembaziran makanan.

Sebagai solusi kepada permasalahan ini, projek inovasi Green Bite Crispy telah dibangunkan. Ia merupakan transformasi bahan mentah sayur-sayuran berdaun seperti sawi dan kobis kepada snek rangup sihat yang mesra kanak-kanak, menggunakan teknik salutan tepung ringan dan kaedah memasak tanpa minyak seperti “air frying” atau pembakaran suhu rendah. Reka bentuk inovasi ini mengambil kira aspek tekstur, rasa dan persembahan agar lebih menarik perhatian murid, disamping mengekalkan nilai nutrisi dan khasiat asal sayur.

Melalui pendekatan ini, Green Bite Crispy berjaya mengubah tanggapan negatif terhadap sayur dalam kalangan murid, meningkatkan minat terhadap pemakanan sihat serta memupuk kesedaran terhadap pengurusan hasil pertanian secara lestari. Ia turut berpotensi dikembangkan sebagai produk keusahawanan sekolah yang menjana pendapatan serta menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 12: Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab). Hasil penilaian melalui soal selidik pasca-projek menunjukkan lebih 85% murid menyatakan kesediaan untuk makan sayur jika disediakan dalam bentuk snek ini.

Projek ini membuktikan bahawa penghasilan inovasi makanan berasaskan sayur bukan sahaja boleh menangani masalah pemakanan dalam kalangan murid, malah mampu menjadi platform pendidikan, keusahawanan dan kelestarian yang berimpak tinggi dalam ekosistem sekolah.