NURSYAHIRAH AHMAD SMK SANDAKAN
Inovasi M.E.R.A (Model Eksperimen kesan meRokok secara Automatik) ini tercipta disebabkan masalah yang dialami oleh guru-guru sains tingkatan 3 dalam Standard Kandungan 2.3: Kesihatan Respirasi Manusia, yang memerlukan guru menjalankan eksperimen untuk menunjukkan kesan merokok terhadap peparu, bagi memberi kesedaran bahawa merokok menimbulkan kesan ke atas kesihatan diri dan orang lain yang tidak merokok. Setiap kali guru ingin menjalankan eksperimen ini, guru memerlukan masa yang lama bagi penyediaannya dan juga masa yang lama serta tenaga yang banyak diperlukan semasa menjalankan eksperimen ini, di mana murid atau guru perlu terus mengepam untuk eksperimen berjalan. Jika banyak masa dihabiskan hanya untuk penyediaan dan proses menjalankan eksperimen ini, guru akan kekurangan masa dalam sesi perbincangan bagi PdPc ini yang sepatutnya mengetengahkan pemikiran kritikal dan kritis para murid. Oleh itu, Inovasi M.E.R.A ini dibangunkan yang hanya menggunakan botol air terbuang, kapas, kaki retort, hos, air dan satu paket rokok. Model inovasi M.E.R.A ini menekankan elemen SDG 4 (Education Quality) yang memberi ruang dan peluang kepada murid untuk berfikir secara kritis dan kreatif, hal ini kerana model ini juga dapat dibina sendiri oleh murid dan dapat menguji tahap penguasaan 6, iaitu mereka cipta menggunakan pengetahuan sains dengan menyelesaikan masalah dan membuat keputusan secara kritis dan kreatif dalam topik ini. Tambahan lagi, dengan menggunakan model eksperimen ini, murid-murid dapat melihat kesan merokok dengan lebih jelas, kerana bukan hanya sebatang rokok dapat digunakan habis dalam 15 minit eksperimen dijalankan, tetapi 6 batang rokok dapat dihabiskan dengan cepat selama 5 minit dengan menggunakan model inovasi ini, maka, murid dapat nampak dengan jelas lagi kesan buruk merokok ini. Berdasarkan data maklum balas yang diterima oleh pengguna model inovasi M.E.R.A ini, 90% guru mendapati penggunaan model ini menjimatkan masa PdPc dan mencabar minda murid lagi dengan kaitan konsep-konsep sains yang lain digunakan dalam model ini, manakala berdasarkan data maklum balas murid pula, 95% murid bersetuju bahawa model ini dapat mencabar minda mereka berfikir secara kritis dan kreatif dalam sesi PdPc ini serta menyedari kesan buruk merokok kepada kesihatan peparu. Sesungguhnya, inovasi model M.E.R.A ini dapat dikomersialkan dengan lebih meluas lagi, kerana hanya memerlukan bahan-bahan yang mudah didapati dan mudah diaplikasi di sekolah masing-masing.