NURUL FARAH AIZAH BINTI AB HALIM SK CHENG MELAKA
Abstrak
Inovasi “Bru-dal” merupakan hasil ciptaan kreatif murid Sekolah Kebangsaan Cheng dengan bimbingan guru sebagai respons terhadap cabaran harian mencuci lantai bilik mandi. Aktiviti ini biasanya memerlukan posisi badan membongkok yang tidak selesa, mengambil masa lama, serta boleh menyebabkan sakit pinggang. Dengan memahami isu tersebut, tercetuslah idea untuk menghasilkan "Bru-dal", iaitu selipar berus pembersih lantai yang berfungsi secara manual dan automatik melalui pergerakan kaki. Inovasi ini bukan sahaja memudahkan pengguna, malah menjimatkan masa serta kos. Produk ini dihasilkan menggunakan bahan mesra alam seperti berus sabut kelapa dan plastik kitar semula, menjadikannya alternatif yang mampan dan murah – hanya RM12 sepasang. Objektif utama inovasi ini ialah untuk mencipta alat pembersih lantai yang praktikal, menjimatkan masa, berkos rendah, serta memperkenalkan unsur inovasi dalam kehidupan harian murid. Produk ini menyasarkan penggunaan di rumah, syarikat pembersihan, dan warga sekolah. Kajian lapangan mendapati 90% pengguna merasakan ia mempercepat proses mencuci, manakala 80% pula mengakui pengurangan kesakitan pinggang. Produk ini telah mendapat pengesahan daripada pakar inovasi dan ICT, serta didaftarkan di bawah MyIPO pada 12 Mac 2025 bagi melindungi harta inteleknya. Penyebaran awal telah dijalankan menerusi program gotong-royong dan demonstrasi di sekolah-sekolah sekitar. Kesimpulannya, "Bru-dal" membuktikan bahawa kreativiti murid sekolah rendah mampu menghasilkan inovasi berimpak tinggi yang menyelesaikan masalah harian secara praktikal, mesra alam, dan berskala komersial.
Kata kunci: inovasi murid, alat pembersih lantai, mesra alam, kreativiti, Bru-dal