NUR AMIRAH SAADAH BINTI BALIAN SEKOLAH KEBANGSAAN BANDAR MAS
SUKA JAWI: MENINGKATKAN KEMAHIRAN MURID TAHUN 1
MENYAMBUNG DAN MENULIS SUKU KATA TERBUKA
NUR AMIRAH SAADAH BINTI BALIAN, NUR ZHUFAIRAH HUMAIRA BINTI RAMLI, ADAM MUKHRIZ BIN HISHAMUDDIN, MUHAMMAD SYAKIRIN BIN MUHAMAD ZAIDI, WAN AHMAD FIKRI BIN WAN RUSHDAN
Sekolah Kebangsaan Bandar Mas
ABSTRAK
Jawi adalah salah satu bidang dalam mata pelajaran Pendidikan Islam di Sekolah Rendah. Isu kemerosotan minat dan kelemahan murid dalam kemahiran menyambung huruf Jawi adalah amat membimbangkan. Suka Jawi telah dibangunkan bagi mengatasi masalah tersebut khususnya meningkatkan penguasaan Jawi murid-murid Tahun 1 di tiga buah sekolah terpilih iaitu SK Bandar Mas, SK Salak South dan SK Kuala Slim. Objektif inovasi ini ialah murid dapat mengenal pasti sambungan huruf Jawi, menentukan sambungannya dan menulis sambungan dua suku kata dengan betul. Inovasi ini adalah integrasi produk nyata dan digital interaktif melalui ‘Formula SuKa Jawi’, ‘SuKa Jawi Plus’, ‘SuKa Jawi World’ dan ‘AI Jawi Bot’. Empat elemen ini menggunakan pendekatan terbeza melalui pelaksanaan pengajaran bermakna dan interaktif supaya pembelajaran yang dilaksanakan menyeronokkan. Pelaksanaan intervensi telah dijalankan selama empat minggu di tiga buah sekolah terpilih tersebut kepada 60 orang murid Tahun 1 menggunakan kaedah pemerhatian dan ujian bertulis (ujian pra dan pasca). Hasil kajian menunjukkan peningkatan yang ketara selepas menggunakan inovasi. Peningkatan ditunjukkan melalui kebolehan mengenal pasti sambungan huruf Jawi dan menulisnya dalam dua suku kata dengan tepat. Dapatan menunjukkan bahawa penggunaan teknologi digital dan pendekatan interaktif mampu meningkatkan minat dan penguasaan murid dalam Jawi. SuKa Jawi berpotensi untuk dikomersialkan kerana telah memperoleh hak cipta MyIPO, kandungan yang selaras dengan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) serta sesuai digunakan oleh guru, ibu bapa dan murid di seluruh Malaysia. SuKa Jawi diharapkan dapat digunakan secara meluas kepada semua murid di seluruh Malaysia menjelang 2027.
Kata Kunci : Jawi, sambungan, suku kata, pendekatan terbeza, interaktif