JS780: 3LR

Adam Bin Syukri Sekolah Kebangsaan Mukah

Inovasi 3LR yang disebut sebagai Triple Lines Ruler merupakan pembaris yang dicipta khas bertujuan untuk meningkatkan kemahiran menulis dalam kalangan murid yang mempunyai masalah tulisan yang tidak kemas dan teratur khususnya murid prasekolah. Ianya sangat sesuai digunakan oleh guru prasekolah malahan ibu bapa untuk membantu murid yang mengalami masalah tulisan tidak kemas dan teratur. Pembaris 3LR ini sesuai digunakan untuk menulis pada buku 3 garis. Namun demikian, ianya juga sesuai digunakan untuk buku 1 garis. Pembaris 3LR ini mengandungi keluarga huruf yang murid perlu kuasai dalam kemahiran menulis. Keluarga huruf ini terdiri daripada huruf pendek, huruf tinggi dan huruf jatuh. Pembaris ini terdiri dari dua bahagian iaitu bahagian yang pertama merupakan bingkai yang digunakan oleh murid untuk menulis, manakala bahagian yang kedua terdiri daripada keluarga huruf sebagai panduan murid untuk menulis. Pembaris ini juga boleh dilaraskan agar murid dapat merujuk keluarga huruf yang terdapat pada pembaris tersebut. Penggunaan bahan inovasi seumpama ini secara tidak langsung dapat menarik minat murid prasekolah dalam kemahiran menulis. Ianya kerana murid prasekolah sangat sinonim dengan penggunaan bahan maujud dalam proses PdP. Ini menjadikan pengalaman pembelajaran murid dapat diperkayakan dengan penglibatan secara aktif dalam pembelajaran. Kemahiran menulis dapat dipertingkatkan melalui latihan menulis dengan menggunakan pembaris 3LR.