AMIRA SHAHIRAH BINTI KAMSAH SAM RAWANG
Kemahiran mengenalpasti fungsi adalah perkara asas dalam tajuk Graf Fungsi bagi subjek Matematik Tingkatan 2. Namun, pengkaji mendapati murid keliru untuk mengenalpasti fungsi atau bukan fungsi. Objektif kajian ini adalah untuk membantu murid meningkatkan minat dan motivasi murid dalam mempelajari bab ini dengan adanya Kit Fungsi yang interaktif. Kajian ini dijalankan untuk mengkaji keberkesanan penggunaan alatan inovasi pengajaran dan pembelajaran (PdP) menggunakan Kit Fungsi dalam bab Graf Fungsi. Alatan inovasi ini telah dihasilkan melalui pembelajaran berasaskan projek melalui pendekatan Science Technology Engineering and Mathematics (STEM) dan Engineering Design Process (EDP) dengan merekacipta satu alat bantu belajar bagi meningkatkan minat dan motivasi murid bagi tajuk ini. Pengkaji telah memilih sampel seramai 28 orang murid Tingkatan 2 Hanbali. Pengkaji memilih kaedah kajian melalui Ujian Pra, Ujian Pos serta soal selidik mengenai kepuasan murid setelah pengkaji mengaplikasikan alatan semasa PdP. Ujian Pra yang diedarkan kepada sampel merupakan soalan berkenaan topik berkaitan, begitu juga dengan Ujian Pos yang merupakan soalan yang sama ditujukan kepada murid namun diedarkan selepas pengkaji menggunakan alatan tersebut. Dapatan kajian menunjukkan pelaksanaan PdP menggunakan Kit Fungsi telah membantu murid mengenalpasti fungsi dan seterusnya menggunakan Kit Fungsi untuk menyelesaikan masalah dalam tajuk Graf Fungsi. Penggunaan Kit Fungsi dapat menambahbaik proses PdP bagi subjek Matematik Tingkatan 2.