Ra'id Almujahid Bin Kamarul Zaman SEKOLAH RENDAH ISLAM AL AMIN KERAMAT
Sistem penyiraman merupakan perkara yang amat penting dalam menjaga kualiti serta kuantiti suatu tanaman. Ini adalah kerana kebanyakan tanaman memerlukan tahap kelembapan tanah yang optimum untuk tumbesaran tanaman. Permasalahan sering berlaku di sekolah, di rumah, di pejabat atau di kebun-kebun kecil yang mana tanaman telah ditinggalkan tanpa penjagaan yang baik. Contohnya, kebanyakan tanaman di sekolah tidak dapat disiram kerana ketiadaan pelajar atau tukang kebun apabila tiba musim cuti sama ada cuti sekolah atau cuti perayaan. Maka dengan terciptanya Kigi Auto Hydro Alert System (KHAS) ianya merupakan penyelesaian kepada permasalahan ini kerana KHAS adalah sistem siraman tanaman automatik berpenggera yang berfungsi berdasarkan kelembapan tanah. Sistem siraman automatik berpenggera ini dicipta bagi membantu mengekalkan kesuburan tanaman secara automatik dengan kos yang lebih murah dan mesra alam. Cara guna: Sistem dipasang pada tanaman. Apabila alat pengesan mengesan tanah dalam keadaan kering, maka sistem akan mengaktifkan siraman secara automatik. Selain itu, bekas simpanan air dilengkapi dengan lampu dan bunyi amaran yang akan diaktifkan apabila paras air berkurangan. Alat dan bahan: Botol air kitar semula, pengesan (sensor) kelembapan, pam air, suis dan wayar, injap, saluran getah paip, lampu dan alat penggera. Keunikan Produk: KHAS dapat mengekalkan kelembapan tanah melalui pengesan yang mampu mengukur kelembapan tanah untuk pengairan yang betul dan memberi notifikasi kepada pemilik tanaman untuk mengisi air apabila parasnya rendah. Selain itu, KHAS juga mengunakan barang-barang terpakai bagi mengurangkan sisa dan melindungi alam sekitar. Kesimpulan: Terciptanya produk KHAS dapat membantu orang ramai dalam memastikan kesuburan tanaman terjamin terutamanya apabila tanaman dibiarkan tanpa penjagaan selama beberapa hari sama ada tanaman disekolah atau dirumah semasa cuti sekolah atau perayaan yang panjang.