EMY FILZAH BT ZULKIFLI KOLEJ MATRIKULASI KELANTAN
Kajian ini bertujuan untuk menilai keberkesanan kaedah Live Budgeted Report (LBR) dalam meningkatkan pemahaman pelajar terhadap topik Belanjawan dalam kursus Perakaunan. LBR merupakan kaedah interaktif yang menggabungkan penggunaan perisian digital untuk penyediaan dan analisis belanjawan secara masa nyata. Kajian dijalankan ke atas 294 pelajar jurusan Perakaunan di Kolej Matrikulasi Kelantan, yang mengalami kesukaran memahami penyediaan belanjawan secara manual. Kajian ini bersandarkan kepada Model Kajian Tindakan Kemmis dan McTaggart (1988). Data dikumpul melalui ujian diagnostik, pemerhatian semasa pengajaran dan pembelajaran (PdP), serta ujian pos selepas intervensi LBR diperkenalkan. Hasil kajian menunjukkan peningkatan ketara dalam pemahaman pelajar, dengan 85% daripada mereka berjaya mencapai markah penuh dalam ujian pos berbanding hanya 40% dalam ujian pra. Ini membuktikan bahawa penggunaan kaedah LBR berkesan dalam memperkukuhkan pemahaman konsep belanjawan serta menyokong pendigitalan pedagogi dalam pendidikan.