ADAM AHMAD BIN NOR AZLAN SEKOLAH RENDAH ISLAM (SRI) KIBLAH
Peningkatan kos sara hidup di Malaysia telah memberi kesan ketara kepada golongan keluarga berpendapatan rendah (B40), khususnya dalam menyediakan keperluan asas pendidikan seperti alat tulis. Ramai murid hadir ke sekolah tanpa pensel, pemadam, pembaris, pensel warna atau pen yang mencukupi. Dalam masa yang sama, terdapat pula murid yang membuang alat tulis yang masih boleh digunakan, mewujudkan jurang yang ketara antara keperluan dan pembaziran. Pemerhatian menunjukkan bahawa lebih 60% alat tulis yang dibuang sebenarnya masih dalam keadaan baik dan berfungsi. Tambahan pula, kebanyakan sekolah tidak mempunyai sistem pemulihan atau pertukaran alat tulis secara sistematik. Hal ini menyumbang kepada peningkatan sisa pepejal tidak boleh reput seperti plastik pembaris, pen, dan pembalut alat tulis yang dibuang ke dalam tong sampah sekolah setiap minggu. Masalah ini bukan sahaja memberi kesan kepada alam sekitar, malah menjejaskan keadilan akses kepada pendidikan berkualiti. Sebagai respons, projek TulisSwap diperkenalkan sebagai inovasi berasaskan konsep 3R (Reduce, Reuse, Recycle) yang dikendalikan oleh murid sendiri. Projek ini melibatkan pengumpulan, penyaringan dan pengagihan semula alat tulis yang masih boleh digunakan melalui sistem ‘stesen pertukaran’ di sekolah. Selama tempoh satu minggu, seramai 35 orang murid dari Sekolah Rendah Islam Kiblah, Melaka telah menyertai projek ini dan berjaya mengumpul kira-kira 50 unit alat tulis. Hasil pelaksanaan mendapati sebanyak 25% pengurangan alat tulis dibuang ke tong sampah sekolah. Inisiatif ini bukan sahaja memperkenalkan nilai kelestarian dan empati dalam kalangan murid, malah berpotensi diperluaskan sebagai sebahagian daripada sistem koperasi sekolah. Projek ini membuktikan bahawa penyelesaian berskala kecil tetapi terancang mampu memberi impak besar dalam membina budaya pendidikan yang lebih lestari dan saksama.