ST1074: Smart-Highpowered Pushcart With Mover Engine

Adam Haris Bin Azifsafarin Kolej Vokasional (PERTANIAN) Teluk Intan

Projek bertajuk "Menghasilkan Smart High-Powered Push Mover Engine and Remote-Controlled Hydraulic Jet System" ini dibangunkan untuk mengautomasikan proses pengangkutan dan pemindahan beban di bengkel pertanian secara lebih efisien dan selamat. Projek ini dilaksanakan bagi mengatasi cabaran yang dihadapi oleh pelajar dan pekerja dalam mengangkat serta memindahkan beban berat secara manual, yang berisiko menyebabkan kecederaan serta memerlukan penggunaan tenaga dan masa yang tinggi. Sistem ini direka menggunakan enjin sebagai sumber kuasa utama bagi membantu pergerakan kereta sorong, manakala mini treler berfungsi menambah kapasiti muatan. Mekanisme jet hidraulik yang dilengkapi actuator membolehkan bakul kereta sorong ditolak dan diangkat secara automatik dengan kestabilan optimum. Struktur rangka diperkuat menggunakan besi tebal dan tayar heavy duty bagi memastikan keselamatan semasa operasi, manakala sistem kawalan suis membolehkan pergerakan dilakukan dengan lebih terkawal dan stabil.

Prosedur pengujian dijalankan secara sistematik termasuk ujian pemindahan bahan pertanian dan peralatan bengkel serta pemantauan kestabilan beban. Kajian ini melibatkan pelajar di Kolej Vokasional (Pertanian) Teluk Intan sebagai pengguna bagi menilai fungsi, keselamatan dan kebolehgunaan sistem. Hasil pengujian kelas DVM 1 dan DVM 2 Teknologi Mekanisasi Agro seramai 34 orang responden menunjukkan kereta sorong berkuasa ini mampu memindahkan beban berat dengan lebih stabil, selamat serta mengurangkan kebergantungan kepada tenaga manual. Selain itu, maklum balas yang diterima mendapati sistem kawalan jauh memudahkan pengendalian terutamanya di kawasan sempit dan tidak rata.

Dari aspek penyelenggaraan, komponen enjin dan sistem hidraulik direka supaya mudah diperiksa dan diservis secara berkala. Projek ini juga memberi pendedahan kepada pelajar tentang aplikasi teknologi mekanisasi, sistem kawalan, serta konsep keselamatan industri dalam persekitaran sebenar. Secara keseluruhannya, keputusan kajian membuktikan potensi projek dalam meningkatkan kecekapan operasi bengkel pertanian, menjimatkan masa kerja, serta menyokong penggunaan teknologi moden dalam sektor pendidikan dan pertanian negara.