Farhanis Anissa Binti Mohd Faizal Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Hussein Onn
Gamifikasi: Misi Vitamin C merupakan inovasi pembelajaran digital interaktif yang dibangunkan menggunakan platform Genially bagi mengatasi cabaran pembelajaran kesihatan secara konvensional yang sering kurang menarik dan kurang memberi peluang kepada murid untuk mengaplikasikan pengetahuan dalam situasi kehidupan sebenar. Inovasi ini direka bentuk untuk meningkatkan penglibatan, motivasi dan pemahaman murid sekolah rendah tentang amalan pemakanan sihat, khususnya kepentingan vitamin C dalam mengekalkan kesihatan badan.
Melalui pendekatan gamifikasi berasaskan misi, murid berperanan sebagai ejen yang ditugaskan membantu watak bernama Saiful memulihkan tahap kesihatannya melalui tiga tahap cabaran digital yang autentik dan menyeronokkan. Pada tahap pertama, murid perlu memilih bahan makanan yang sesuai untuk menyediakan sup sihat yang kaya dengan vitamin C. Tahap kedua memerlukan murid membandingkan kandungan gula dalam pelbagai produk serta membuat keputusan yang bijak semasa simulasi membeli-belah. Seterusnya, tahap ketiga menggalakkan murid menggunakan kemahiran berfikir aras tinggi untuk menyelesaikan teka-teki dan situasi masalah yang berkaitan dengan gaya hidup sihat dalam konteks persekitaran sekolah.
Inovasi ini mengintegrasikan elemen penceritaan digital, animasi, pembelajaran berasaskan permainan dan penyelesaian masalah kontekstual bagi mewujudkan pengalaman pembelajaran yang bermakna, interaktif dan berpusatkan murid. Pelaksanaan inovasi menunjukkan peningkatan penglibatan aktif, motivasi pembelajaran serta pemahaman murid terhadap amalan pemakanan sihat dan kepentingan vitamin C. Secara keseluruhannya, Gamifikasi: Misi Vitamin C membuktikan bahawa teknologi gamifikasi berupaya mentransformasikan pendidikan kesihatan kepada pengalaman pembelajaran yang lebih menyeronokkan, berimpak tinggi dan relevan dengan kehidupan harian murid.