Ahmad Danial Aufa Bin Muhammad Hakimi Tew Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Hussein Onn
Kembara Khayalan merupakan inovasi pembelajaran berasaskan gamifikasi yang dibangunkan untuk meningkatkan kemahiran membaca serta penguasaan pengetahuan berkaitan amalan kebersihan diri dalam kalangan murid sekolah rendah. Inovasi ini dihasilkan bagi mengatasi cabaran pembelajaran konvensional yang sering menyebabkan murid kurang bermotivasi, kurang fokus dan sukar memahami kandungan bacaan secara bermakna. Melalui pendekatan pembelajaran yang interaktif dan berpusatkan murid, Kembara Khayalan mentransformasikan proses pembelajaran kepada satu pengalaman penerokaan yang menyeronokkan dan autentik.
Inovasi ini direka bentuk berdasarkan tiga tahap kesukaran iaitu rendah, sederhana dan tinggi bagi memenuhi keperluan pembelajaran terbeza selaras dengan tahap kebolehan murid yang pelbagai. Setiap tahap mengandungi cabaran pembacaan, aktiviti penyelesaian masalah serta tugasan interaktif yang menggalakkan murid mengaplikasikan pengetahuan berkaitan kebersihan diri dalam situasi kehidupan harian.
Tema kesihatan yang diketengahkan melalui amalan menjaga kebersihan diri berfungsi sebagai konteks pembelajaran autentik yang membantu murid menghubung kaitkan pengetahuan dengan pengalaman sebenar. Pelaksanaan inovasi menunjukkan peningkatan motivasi, minat dan penglibatan murid dalam aktiviti pembelajaran, di samping memperkukuh kemahiran membaca serta kefahaman terhadap amalan kebersihan diri.
Secara keseluruhannya, Kembara Khayalan membuktikan bahawa integrasi gamifikasi dan pembelajaran terbeza berupaya mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif, menyeronokkan dan bermakna. Inovasi ini berpotensi menjadi pendekatan alternatif yang efektif dalam memperkasakan kemahiran literasi dan pendidikan kesihatan selaras dengan keperluan pembelajaran abad ke-21.