MUHAMMAD MUZARIFF BIN MARZUKI Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah,
Penanaman cili secara konvensional sering menghadapi masalah ketidakstabilan suhu persekitaran, kelembapan tanah yang tidak konsisten, serta kesukaran pemantauan tanaman secara berterusan, khususnya bagi pengguna domestik, pelajar dan pengusaha tanaman berskala kecil. Keadaan ini boleh menjejaskan pertumbuhan pokok cili, meningkatkan risiko kerosakan tanaman, dan mengurangkan hasil pengeluaran. Seiring dengan perkembangan teknologi Internet of Things (IoT), penggunaan sistem pemantauan pintar dilihat mampu membantu pengguna mengurus tanaman dengan lebih sistematik, mudah dan efisien. Oleh itu, projek Smart Chili Pot: An IoT-Driven Environmental Monitoring and Optimization System dibangunkan sebagai satu inovasi pertanian pintar yang memberi fokus kepada pemantauan keadaan tanaman cili secara masa nyata serta kawalan automatik yang mesra pengguna. Sistem ini menggunakan mikropengawal ESP32 bersama sensor suhu dan kelembapan udara, sensor kelembapan tanah, untuk mendapatkan data persekitaran tanaman secara berterusan. Data tersebut dipaparkan melalui platform IoT dan aplikasi mudah alih bagi membolehkan pengguna memantau keadaan tanaman dari jarak jauh pada bila-bila masa. Selain itu, sistem ini turut dilengkapi dengan fungsi pengairan automatik yang akan mengaktifkan pam air apabila bacaan kelembapan tanah berada di bawah nilai optimum yang ditetapkan. Pendekatan ini bukan sahaja membantu memastikan pertumbuhan tanaman lebih stabil, malah dapat mengurangkan kebergantungan terhadap pemantauan manual dan pembaziran sumber air. Pembangunan projek ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu SDG 2: Zero Hunger melalui usaha meningkatkan kecekapan pengeluaran tanaman makanan secara pintar, SDG 9: Industry, Innovation and Infrastructure menerusi penerapan teknologi IoT dalam sektor pertanian, serta SDG 12: Responsible Consumption and Production melalui penggunaan air yang lebih terkawal dan efisien. Secara keseluruhannya, projek ini berpotensi menjadi solusi pertanian pintar berskala kecil yang praktikal, kos rendah dan mudah diaplikasikan dalam komuniti, institusi pendidikan dan persekitaran rumah selaras dengan keperluan pertanian moden dan teknologi lestari.