ST1159: INOVASI SISTEM PENYEJUKAN SEMULAJADI BANGUNAN ECO-COOLER

INTAN NURLIYANA BINTI TAJUDDIN POLITEKNIK TUANKU SULTANAH BAHIYAH

Kajian ini dijalankan untuk membangunkan sistem penyejukan semula jadi bangunan menggunakan inovasi Eco-Cooler yang dikuasakan oleh tenaga solar. Projek ini bertujuan untuk mengurangkan suhu dalaman tanpa bergantung kepada elektrik daripada grid utama, di samping menyokong amalan kelestarian dan mesra alam. Sistem Eco-Cooler ini menggunakan botol plastik kitar semula sebagai medium utama aliran udara, di mana botol tersebut berfungsi sebagai corong udara untuk meningkatkan halaju aliran udara dan menghasilkan kesan penyejukan. Dua prototaip telah dibangunkan iaitu Prototaip A dan Prototaip B yang berbeza dari segi bilangan botol plastik dan saiz kotak PVC. Pengujian dijalankan di Civilian Pitstop, Jabatan Kejuruteraan Awam, bagi membandingkan suhu sebelum dan selepas pelaksanaan sistem Eco-Cooler. Data suhu direkodkan selama 12 hari dalam tempoh 4 minggu pada dua tempoh masa berbeza iaitu tengah hari dan petang. Hasil kajian menunjukkan bahawa kedua-dua prototaip berjaya mengurangkan suhu dalaman secara beransur-ansur selepas 30 minit dan 1 jam operasi. Walau bagaimanapun, Prototaip A menunjukkan prestasi yang lebih baik dan konsisten dengan pengurangan suhu maksimum sekitar 2.2°C berbanding Prototaip B sekitar 1.4°C. Secara keseluruhannya, sistem Eco-Cooler yang menggunakan botol plastik kitar semula dan tenaga solar terbukti sebagai alternatif penyejukan semula jadi yang berkesan, kos rendah dan mesra alam.