DR AISHA CHANG Institut Pendidikan Guru Kampus Sarawak
Abstrak
Pengurusan data berkualiti amat penting bagi memastikan rangka kerja dan sistem yang direka menjamin kualiti pendidikan di IPGM sentiasa pada tahap yang tinggi. Hal ini kerana sistem pengurusan data yang inovatif membantu memperkemas proses, mengurangkan pembaziran, dan meningkatkan kecekapan operasi secara langsung meningkatkan produktiviti dan nilai sesebuah organisasi. Melalui inovasi e-PPK ini, permasalahan seperti keciciran maklumat, perekodan dan penyimpanan data pelaksanaan pemantauan kurikulum serta proses pengiraan secara manual bagi mendapatkan min purata setiap pensyarah dapat diatasi. Maka, objektif pembangunan inovasi Sistem e-PPK Dashboard Pemantauan Kurikulum ini yang dibangunkan hasil gabungan aplikasi google drive, google sheet dan looker studio secara percuma tanpa melibatkan kos yang tinggi ini menjadikan pemantauan, perekodan, penyimpanan dan pengiraan data menjadi lebih mudah dan teratur. Metodologi pembangunan inovasi ini menggunakan Model SDLC iaitu Model Air Terjun yang menjadikan proses pembangunan produk inovasi menjadi mudah kerana lebih sistematik dan mempunyai fasa-fasa dalam pembangunan yang teratur dan tersusun. Impaknya, inovasi ini bukan sahaja bersifat mesra pengguna malah dapat mengelakkan keciciran maklumat, mengurangkan kos penggunaan kertas dan masa proses pemantauan, perekodan dan penyimpanan maklumat pemantauan pelaksanaan kurikulum setiap pensyarah. Cadangan penambahbaikan inovasi ini ialah memasukkan maklumat berkenaan pendekatan Outcome Based Education (OBE) dan Pendidikan Digital dalam ruangan catatan setiap pensyarah yang dipantau bagi menilai kefahaman pensyarah berkenaan elemen tersebut dalam pengajaran dan pembelajaran. Kesimpulannya, produk inovasi yang dikenali sebagai e-PPK ini dapat digunakan untuk membantu memudahkan pihak pengurusan dan penyelaras pemantauan kurikulum dalam menguruskan data dan rekod pelaksanaan pemantauan kurikulum setiap jabatan akademik di IPGKS secara pendigitalan, teratur dan sistematik.