JS648: KIPAS ZEPHYRA

MUHAMAD THAQIF DARWISY BIN MOHD ROZI SEKOLAH KEBANGSAAN PENDEK

Pencemaran plastik telah menjadi salah satu daripada isu alam sekitar di peringkat global (Kalali dan rakan-rakan, 2023). Objektif inovasi ini adalah untuk mengurangkan masalah pembuangan plastik secara berleluasa dengan menghasilkan satu produk insentif yang lebih bermakna iaitu dengan penghasilan Kipas Zephyra. Seperti sedia maklum, botol plastik sukar dilupuskan secara semula jadi. Isu masalah yang timbul apabila botol minuman plastik kelihatan banyak terbuang di dalam tong sampah selepas murid atau guru membeli dan meminum air minuman tersebut daripada kantin sekolah. Keadaan ini menyumbang kepada peningkatan pembuangan plastik dalam kalangan warga sekolah. Oleh sebab itu, kelab STEM sekolah berasa bertanggungjawab untuk mengatasi masalah ini dengan memikirkan cara untuk mengitar dan menggunakan semula plastik dengan sesuatu produk yang lebih bermanfaat. Dengan penghasilan Kipas Zephyra ini, botol plastik minuman dapat dikitar semula menjadi sebuah kipas tangan. Kipas Zephyra ini boleh digunakan di mana-mana sahaja kerana tidak merbahaya bersesuaian dengan keadaan cuaca global yang panas. Sebagai contoh penggunaan di dalam kelas, semasa bekalan elektrik di rumah atau sekolah terputus, semasa berjalan santai di zoo dan sebagainya. Murid juga dapat belajar mengelakkan pembaziran dengan mengamalkan cara memanfaatkan botol plastik selain mengelakkan pencemaran alam sekitar. Murid juga dapat mengaplikasikan pembelajaran berkaitan perubahan tenaga iaitu daripada tenaga kimia kepada tenaga elektrik seterusnya tenaga kinetik. Penambahbaikan bagi produk inovasi ini ialah ahli kelab boleh menjadikan produk ini sebagai produk jualan dengan menghias lebih cantik dan memasarkan kepada rakan-rakan sekolah atau pengguna melalui media sosial seperti Shoppe, Lazada dan lain-lain.