JS776: KALENDAR PenJo ‘B’

UTHAYA AGATHEESWARAN A/L DHAKSHNAMURTHY SJKT METHODIST KAPAR

Cadangan projek ini bertujuan untuk mengkaji keberkesanan penggunaan kalendar penjodoh bilangan ‘PenJo‘B’ dalam kalangan murid Tahun 2. Penggunaan penjodoh bilangan yang betul dalam ayat merupakan antara masalah yang sering berlaku dalam kalangan murid. Ada segelintir murid masih tidak berupaya memahami konsep penggunaan penjodoh bilangan. Kekangan ini timbul kerana murid tidak dibimbing dan dibiasakan untuk memahami penggunaan penjodoh bilangan secara berterusan. Maka, cadangan projek ini menjurus kepada penggunaan penjodoh bilangan secara berterusan sama ada di bilik darjah ataupun di rumah mengikut kesesuaian objek. Kalendar PenJo’B’ ini dihasilkan oleh empat orang murid Tahun 2 daripada bahan mesra alam digunakan sebagai alat yang membantu untuk mengukur pemahaman murid. Selain itu, Kaedah Pembelajaran Teradun (Blended Learning – BL) dalam Pengajaran dan Pembelajaran melalui bahan multimedia turut digunakan dalam cadangan ini untuk menjadikan proses pembelajaran penjodoh bilangan menjadi menarik dan berkesan mengikut pembelajaran terbeza.