DR. MOHD FAUZI BIN ABDUL HAMID Universiti Sultan Zainal Abidin
Penguasaan ilmu nahu Arab merupakan tunjang utama dalam memahami struktur bahasa dan menafsir makna teks Arab, namun sering menjadi cabaran kepada pelajar kerana kandungannya yang pelbagai, kompleks serta disampaikan secara terpisah-pisah sehingga menyukarkan mereka melihat hubungan antara konsep secara menyeluruh. Selain itu, kebanyakan bahan rujukan masih berorientasikan buku teks yang statik dan kurang interaktif, sekali gus menjejaskan minat serta keberkesanan pembelajaran. Bagi menangani cabaran ini, Baitunnahwi telah dibangunkan sebagai sebuah platform pembelajaran nahu Arab interaktif berasaskan Artificial Intelligence (AI) menggunakan teknologi Gamma AI. Nama Baitunnahwi yang membawa maksud “Rumah Nahu” diinspirasikan daripada konsep sebuah rumah ilmu yang tersusun dan saling melengkapi, di mana setiap komponennya mewakili elemen penting dalam pembelajaran nahu; asas rumah melambangkan pengenalan konsep, tiang mewakili kaedah dan hukum utama, bilik-bilik menghimpunkan subtopik seperti isim, fi‘l dan harf, manakala hiasan menggambarkan contoh, infografik serta aplikasi penggunaan dalam ayat. Pendekatan metafora ini membantu pelajar memahami nahu sebagai satu struktur ilmu yang lengkap dan bersepadu, bukannya topik-topik yang terpisah. Baitunnahwi berfungsi sebagai pusat pembelajaran yang menghimpunkan topik-topik asas nahu secara sistematik dalam satu platform berpusat, dilengkapi dengan reka bentuk mesra pengguna, infografik visual, animasi interaktif serta latihan bagi setiap subtopik untuk menyokong pembelajaran kendiri. Inovasi ini menyasarkan pelbagai lapisan pengguna termasuk pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi dan masyarakat umum, sekali gus menawarkan satu pendekatan pembelajaran nahu Arab yang lebih moden, menarik, sistematik dan selari dengan keperluan pendidikan digital masa kini.