NURIN ADLYNA HUSNA BINTI SHAHRIZAL SMA MAAHAD AL-AZIZ
Kemahiran menambah dan menolak integer merupakan sebahagian daripada topik Nombor Nisbah seperti yang digariskan dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran Matematik Tingkatan Satu. Berdasarkan aktiviti pembelajaran di dalam kelas dan tugasan yang diberikan, didapati murid Tingkatan Satu tidak dapat melaksanakan operasi tambah dan tolak integer dengan berkesan. Oleh itu, satu produk inovasi iaitu InterMath 2.0 telah dibangunkan untuk meningkatkan pemahaman murid terhadap operasi tambah dan tolak integer menggunakan garis nombor. Selain itu, penggunaan InterMath 2.0 menjadikan sesi pembelajaran lebih menyeronokkan dan menarik. Projek inovasi InterMath 2.0 adalah penambahbaikan dari inovasi InterMath yang dibangunkan secara interaktif berdasarkan model MICUP yang terdiri daripada lima fasa iaitu pengenalpastian masalah, penjanaan idea, penghasilan produk, pengujian produk dan penjenamaan produk. Impak penggunaan InterMath 2.0 menunjukkan bahawa murid mampu membuat generalisasi berkaitan operasi tambah dan tolak integer. Penggunaannya juga selari dengan keperluan, minat dan gaya pembelajaran murid. InterMath 2.0 mengaplikasikan pembelajaran berpusatkan murid di mana murid terlibat secara aktif dalam proses pembelajaran. Pendekatan ini turut meningkatkan pemahaman dan motivasi murid untuk belajar. InterMath 2.0 dipertingkatkan lagi dalam bentuk aplikasi supaya murid dapat mengaksesnya dengan mudah pada bila-bila masa dan di mana sahaja.
Kata kunci: Integer, Penambahan dan Penolakan Integer, Garis Nombor, Pembelajaran Berpusatkan Murid, Tingkatan Satu