MARISSA QAISARA BINTI MEOR MOHD AZMAN SMA MAAHAD AL-AZIZ
Kemahiran menentukan penyelesaian ketaksamaan linear merupakan salah satu kemahiran penting dalam tajuk Algebra yang terkandung dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran Matematik Tingkatan Satu. Berdasarkan aktiviti pembelajaran dan tugasan yang dijalankan di dalam kelas, didapati murid Tingkatan Satu menghadapi kesukaran dalam memahami konsep ketaksamaan linear, khususnya dalam mentafsir simbol ketaksamaan serta menentukan dan mewakilkan penyelesaian pada garis nombor dengan tepat. Sehubungan itu, satu inovasi pengajaran iaitu InequalMath dibangunkan bagi membantu meningkatkan kefahaman murid dalam menentukan penyelesaian ketaksamaan linear melalui pendekatan visual dan interaktif. Penggunaan inovasi ini bukan sahaja memudahkan murid memahami konsep secara lebih jelas, malah menjadikan proses pembelajaran lebih menarik dan menyeronokkan. Projek inovasi ini dibangunkan berpandukan model MICUP yang merangkumi lima fasa utama iaitu pengenalpastian masalah, penjanaan idea inovasi, penciptaan produk, pengujian produk dan penjenamaan produk. Impak penggunaan InequalMath menunjukkan bahawa murid berupaya membuat generalisasi berkaitan penyelesaian ketaksamaan linear serta meningkatkan keupayaan dalam mentafsir dan mewakilkan jawapan pada garis nombor. Inovasi ini juga selaras dengan keperluan, minat dan gaya pembelajaran murid serta menggalakkan penglibatan aktif melalui pembelajaran berasaskan murid. Penambahbaikan boleh dilakukan dengan membangunkan inovasi ini dalam bentuk aplikasi digital.
Kata Kunci: Ketaksamaan Linear, Penyelesaian Ketaksamaan, Garis Nombor, Pembelajaran Berasaskan Murid, Tingkatan Satu