YS1298: MANGCLEAN

HARIETH BIN WILDAN SMK DATO' AHMAD MAHER

Kebersihan permukaan meja makmal merupakan aspek penting dalam memastikan keselamatan pengguna serta mengelakkan pencemaran silang semasa aktiviti eksperimen dijalankan. Kebanyakan pembersih makmal komersial mengandungi bahan kimia sintetik yang boleh menyebabkan iritasi kulit, pencemaran alam sekitar serta kos penggunaan yang tinggi. Oleh itu, kajian inovasi ini bertujuan menghasilkan pembersih meja makmal mesra alam berasaskan kulit manggis yang mempunyai sifat antibakteria semula jadi. Kulit manggis dipilih kerana mengandungi sebatian bioaktif seperti xanthone, flavonoid dan tanin yang berfungsi sebagai agen antimikrob dan antioksidan. Metodologi kajian melibatkan proses pengeringan, perebusan bagi menghasilkan ekstrak kulit manggis, diikuti pencampuran dengan cuka putih, jus limau nipis dan sabun organik sebagai agen pembersih. Produk yang dihasilkan diuji dari segi keupayaan membersih, menghilangkan bau dan keselamatan penggunaan pada permukaan meja makmal. Hasil inovasi menunjukkan produk mampu membersihkan kotoran ringan, mengurangkan bau serta berpotensi menghalang pertumbuhan bakteria. Inovasi ini bukan sahaja mengurangkan penggunaan bahan kimia berbahaya malah memanfaatkan sisa organik kepada produk bernilai tinggi. Produk ini sesuai digunakan di makmal sekolah sebagai alternatif pembersih yang selamat, murah dan lestari.