NURUL AIN BINTI MOHAMAD TAZMI SMK SUNGAI LAYAR
Masalah pembuangan sisa makanan khususnya sisa buahan yang berleluasa di Malaysia telah menjadi isu alam sekitar yang semakin membimbangkan. Setiap hari, kuantiti besar sisa makanan dibuang ke tapak pelupusan sampah tanpa dimanfaatkan semula. Sisa buahan seperti kulit pisang, epal dan betik yang kaya dengan serat selulosa sebenarnya berpotensi dijadikan sumber bahan mentah yang boleh diperbaharui. Namun begitu, kurangnya kesedaran dalam kalangan masyarakat terutamanya pelajar sekolah menengah terhadap amalan pengurusan sisa secara lestari serta keterbatasan bahan pengajaran berasaskan pengalaman sebenar telah mengurangkan peluang untuk mengaitkan pengetahuan dengan penyelesaian masalah dunia sebenar. Inovasi ini dibangunkan bagi menyahut cabaran tersebut dengan memperkenalkan penghasilan kertas mesra alam atau dikenali sebagai fruit paper menggunakan sisa buahan yang diperoleh dari persekitaran tempatan. Projek ini melibatkan pelbagai fasa bermula dengan mengenal pasti isu pembuangan sisa makanan dan potensi nilai semulajadinya sebelum proses perancangan dilakukan untuk mengumpul bahan dan merancang kaedah menghasilkan pulpa. Pulpa yang diperoleh melalui kaedah pengisaran dikacau dengan campuran bahan pengikat semula jadi seperti tepung ubi kayu dan gam kanji sebelum diratakan dan dikeringkan untuk menghasilkan helaian kertas yang nipis tetapi padat. Proses ini dijalankan secara berulang dengan pengubahsuaian pada nisbah air dan serat bagi mendapatkan hasil terbaik dari segi ketebalan warna bau dan ketahanan air. Kertas yang terhasil kemudiannya diuji secara sistematik bagi menilai kekuatan ketebalan bau warna dan ketahanan terhadap air menggunakan borang ujian dan jadual pengumpulan data. Sepanjang pelaksanaan projek pendekatan Reka Bentuk Kejuruteraan atau EDP telah digunakan secara menyeluruh melalui lima fasa utama iaitu mengenal pasti masalah menjana idea membina prototaip menjalankan ujian dan menambah baik produk. Kaedah ini membolehkan pelajar berfikir secara kritis menyelesaikan masalah secara kreatif serta menjalankan eksperimen berasaskan penyiasatan saintifik yang autentik. Inovasi ini menyumbang kepada pendidikan STEM melalui pendekatan pembelajaran berasaskan projek yang menghubungkan pengetahuan sains dengan amalan kehidupan seharian. Selain itu produk ini juga menyumbang kepada pemerkasaan pelajar dalam aspek kepimpinan komunikasi dan kerja berpasukan. Dari sudut impak alam sekitar projek ini secara langsung mengurangkan sisa buangan organik dan menggalakkan amalan kitar semula. Kertas buah ini boleh dijadikan sebagai alternatif kepada kertas biasa untuk kegunaan pembalut hadiah pembuatan kad ucapan penanda buku dan hiasan kreatif dalam kelas. Kos penghasilannya yang rendah dan bahan mentah yang mudah didapati menjadikannya berpotensi untuk dikomersialkan sebagai produk mesra alam dan pendidikan yang sesuai dijual dalam bentuk kit inovasi atau cenderamata. Inovasi ini menyokong Matlamat Pembangunan Mampan atau SDG khususnya SDG Dua Belas iaitu Kepenggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab melalui penggunaan semula sisa makanan serta SDG Tiga Belas iaitu Tindakan Terhadap Perubahan Iklim melalui pengurangan pelepasan gas rumah hijau akibat pelupusan sisa makanan. Projek ini juga menyumbang kepada SDG Empat iaitu Pendidikan Berkualiti kerana memberi peluang kepada pelajar untuk terlibat dalam pembelajaran yang autentik dan berimpak. Potensi produk ini untuk dibangunkan ke tahap seterusnya amat tinggi sekiranya dipertingkatkan dengan penggunaan acuan yang seragam teknik pengeringan lebih cekap dan penambahan bahan semula jadi lain yang boleh meningkatkan ketahanan seperti serat batang pisang atau daun nanas. Secara keseluruhan inovasi kertas daripada sisa buah ini bukan sahaja menyelesaikan masalah sisa makanan tetapi juga membentuk pelajar yang celik inovasi berdaya saing dan peka terhadap kelestarian alam sekitar.