NURUL SAFINATUNNAJAH BINTI FADZILLAH SK BATU BERENDAM
Kajian tindakan ini bertujuan untuk meneroka keberkesanan penerapan konsep rumah pintar dalam meningkatkan kesedaran dan amalan kelestarian dalam kalangan murid sekolah rendah. Projek Eco Skubest Greenhome yang dijalankan di SK Batu Berendam, Melaka, memberi penekanan kepada penggunaan tenaga boleh baharu, sistem pengudaraan yang baik, budaya 3R, serta kecekapan tenaga dalam penggunaan peralatan elektrik. Pendekatan kajian ini melibatkan aktiviti penerokaan, eksperimen, dan pembelajaran berasaskan projek (PBL) di mana murid menjalankan ujian terhadap sistem tenaga solar, turbin angin, serta sistem tadahan air hujan. Data diperoleh melalui pemerhatian, temu bual, dan analisis reflektif terhadap kefahaman dan penglibatan murid dalam projek ini. Hasil kajian menunjukkan bahawa projek Eco Skubest Greenhome berjaya meningkatkan kesedaran murid terhadap kepentingan tenaga boleh baharu dan konsep rumah mesra alam. Murid bukan sahaja memahami teori yang dipelajari, tetapi juga dapat mengaplikasikan konsep tersebut dalam kehidupan seharian mereka. Dapatan kajian ini mencadangkan bahawa pendekatan pembelajaran berasaskan projek dan eksperimen secara langsung mampu meningkatkan literasi STEM dan sikap bertanggungjawab terhadap alam sekitar dalam kalangan murid sekolah rendah.