Nur Shazliana Rauqah Binti Shamsul Fadzilah SMK Taman Sri Muda
Pendedahan berpanjangan terhadap sinaran ultraungu dikaitkan dengan pelbagai masalah dermatologi termasuk selaran matahari, hiperpigmentasi, tekanan oksidatif dan kanser kulit. Walaupun pelindung matahari sintetik berkesan mengurangkan pendedahan UV, kebimbangan terhadap kesan toksik penapis UV kimia seperti oksibenzon dan oktinoksat terhadap ekosistem marin telah meningkatkan permintaan terhadap alternatif lestari. Kajian ini memperkenalkan OniGo, iaitu semburan pelindung ultraungu berasaskan ekstrak Allium cepa L. sebagai agen fotoprotektif semula jadi. Formulasi ini memanfaatkan kandungan flavonoid dan fenolik yang tinggi dalam bawang merah yang berupaya menyerap sinaran ultraungu serta bertindak sebagai antioksidan dan anti-radang. Penilaian fungsi menunjukkan semburan ini berkesan mengurangkan ketidakselesaan akibat pendedahan UV dan membantu melindungi kulit daripada kerosakan cahaya matahari. Berbanding pelindung matahari berasaskan krim konvensional, OniGo menawarkan formulasi semburan ringan menggunakan bahan biodegradasi dengan impak alam sekitar yang lebih rendah. Inovasi ini menyokong SDG 12 melalui pengeluaran kosmetik lestari dan pembangunan teknologi penjagaan diri mesra alam.