Shuhaimi Abu Seman Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia
Kajian ini bertujuan membangunkan dan menilai keberkesanan Modul REAL-MPC sebagai satu inovasi psikologi pendidikan bagi memperkasa aspek daya tahan, efikasi kendiri dan kesedaran kendiri murid pintar cerdas dalam pembelajaran Matematik Tambahan. Modul ini dibangunkan berasaskan pendekatan Design and Development Research (DDR) yang melibatkan tiga fasa utama iaitu analisis keperluan, reka bentuk dan pembangunan modul, serta penilaian keberkesanan. Fasa analisis keperluan melibatkan temu bual bersama guru Matematik Tambahan yang mempunyai pengalaman mengajar murid pintar cerdas bagi mengenal pasti cabaran psikologi dan pembelajaran yang dihadapi oleh pelajar. Modul REAL-MPC dibina berdasarkan integrasi teori psikologi pendidikan merangkumi daya tahan, efikasi kendiri dan kesedaran kendiri, serta disahkan oleh panel pakar menggunakan kaedah Fuzzy Delphi. Penilaian keberkesanan modul dijalankan menggunakan reka bentuk kuasi eksperimen melibatkan kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan dalam kalangan murid pintar cerdas. Data dianalisis menggunakan statistik deskriptif dan inferensi melalui perisian SPSS versi 31. Dapatan kajian menunjukkan bahawa penggunaan Modul REAL-MPC berjaya meningkatkan tahap daya tahan, efikasi kendiri dan kesedaran kendiri murid selepas intervensi. Selain itu, penilaian kebolehgunaan menunjukkan tahap penerimaan yang tinggi berdasarkan dimensi kebergunaan (M = 4.18), kepuasan (M = 4.24) dan kemudahgunaan (M = 3.98). Kajian ini membuktikan bahawa Modul REAL-MPC berpotensi menjadi intervensi inovatif dalam memperkukuh pembangunan psikologi murid pintar cerdas, khususnya dalam pembelajaran Matematik Tambahan.