JS860: KOMIK STEM DIGITAL BERASASKAN SMART ROOM THERMOMETER: INOVASI PENGAJARAN TOPIK TENAGA MELALUI PERPUSTAKAAN MAYA

SAIDA HUMAIRA IMANI BINTI NAZUAN IZHAN    SEKOLAH KEBANGSAAN JITRA

Inovasi ini mengintegrasikan Komik STEM Digital dengan penggunaan Smart Room Thermometer sebagai pendekatan kreatif untuk meningkatkan kefahaman murid terhadap topik tenaga. Smart Room Thermometer digunakan sebagai alat sokongan pembelajaran sains yang membolehkan murid mengukur suhu bilik secara automatik, mengaplikasikan konsep haba serta menilai keberkesanan penggunaan tenaga. Data yang diperoleh daripada alat ini dijadikan asas kepada penghasilan komik digital yang berbentuk naratif interaktif.

 

Komik STEM Digital dihasilkan sepenuhnya oleh murid di bawah bimbingan guru dengan bantuan teknologi kecerdasan buatan (ChatGPT) untuk menjana watak kartun mesra murid. Jalan cerita dan dialog disusun berdasarkan konsep tenaga dan aplikasi sebenar Smart Room Thermometer. Penerbitan komik ini dilakukan melalui platform library maya sekolah (Rak Buku Maya Sekolah Kebangsaan Jitra), sekaligus membolehkan lebih ramai murid mengakses, membaca, dan merekodkan bacaan mereka dalam sistem NILAM.

 

Hasil pelaksanaan menunjukkan peningkatan minat membaca dan kefahaman murid terhadap konsep tenaga. Komik interaktif ini bukan sahaja memperkukuh pembelajaran STEM, malah berfungsi sebagai medium maklumat inovatif dalam pengurusan perpustakaan maya. Secara keseluruhan, projek ini membuktikan bahawa integrasi teknologi, komik digital, dan library maya mampu menyokong pembelajaran abad ke-21 yang lebih menarik, kreatif, dan berkesan.