MUHAMMAD ADAM HARIS BIN MOHD HAIRIRY KOLEJ VOKASIONAL PASIR PUTEH
Industri ternakan ayam menghasilkan pelbagai sisa seperti kulit telur, bulu ayam dan bahan buangan organik lain yang berpotensi mencemarkan alam sekitar sekiranya tidak diurus secara lestari. Lambakan sisa ini menjadi cabaran kepada pengurusan ladang serta memberi kesan negatif terhadap kebersihan dan kesihatan persekitaran. Bagi menangani isu ini, projek inovasi Poultrix EcoBoard dibangunkan sebagai satu penyelesaian kreatif dengan memanfaatkan sisa poltri dalam penghasilan papan komposit mesra alam. Nama Poultrix EcoBoard diilhamkan daripada gabungan Poultry, iaitu ternakan ayam sebagai sumber bahan mentah, dan Matrix, iaitu bahan pengikat komposit yang menyatukan semua komponen. Poultrix EcoBoard dihasilkan daripada kulit telur, bulu ayam, habuk kayu dan gam sekali gus menawarkan alternatif kepada papan konvensional yang lebih ekonomik. Produk ini sesuai digunakan dalam pembuatan perabot ringan, panel pameran serta bahan pendidikan, di samping mempunyai potensi kebolehpasaran yang tinggi. Inovasi ini menyokong SDG 12 Responsible Consumption and Production melalui penggunaan semula sisa poltri secara optimum serta mengurangkan pembaziran sumber. Selain itu, ia turut menyumbang kepada SDG 13 Climate Action dengan mengurangkan pencemaran dan pelepasan gas daripada pereputan sisa organik. Secara keseluruhannya, Poultrix EcoBoard membuktikan bahawa sisa ternakan ayam mampu ditransformasikan menjadi produk inovatif yang bernilai tinggi, berdaya saing dan lestari.