MASTURA BINTI IBRAHIM POLITEKNIK SULTAN MIZAN ZAINAL ABIDIN
EVALINK 2 merupakan inovasi sebuah platform digital bersepadu yang dibangunkan bagi mentransformasikan pengurusan Unit Projek di Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM) Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) dari kaedah konvensional kepada ekosistem digital yang lebih efisien, sistematik dan berpusat. Sistem ini mengintegrasikan pelbagai fungsi utama merangkumi penilaian Final Year Project (FYP), pengurusan dokumen, hebahan maklumat serta penyelarasan pertandingan pelajar dalam hanya satu platform sahaja. Pembangunan EVALINK 2 dilaksanakan menggunakan pendekatan pembangunan sistem yang komprehensif meliputi analisis keperluan, reka bentuk, pembangunan, pengujian dan penilaian pengguna. Berasaskan teknologi low-code, sistem ini memanfaatkan integrasi Google AppSheet, Google Sheets dan Google Drive bagi membolehkan capaian data secara masa nyata, perkongsian maklumat secara serentak dan penyimpanan dokumen yang selamat dan teratur. Hasil penilaian kuantitatif menunjukkan tahap penerimaan pengguna yang sangat tinggi dengan skor min melebihi 4.50 bagi semua konstruk yang dinilai. Dari sudut impak, EVALINK 2 berjaya mengurangkan beban kerja manual, meningkatkan ketelusan dan kebolehaksesan maklumat, serta memperkukuh kecekapan penyelarasan aktiviti akademik dan pertandingan. Keunikan sistem ini terletak pada pendekatan integrasi menyeluruh pelbagai fungsi dalam satu platform, sekali gus menjadikannya sebagai model inovasi digital yang berpotensi diperluaskan ke peringkat institusi.