Aleesya Qashreena Binti Rashidi Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Penggawa Barat
Urbanisasi pesat menyebabkan pengurangan kawasan hijau serta penurunan kelembapan tanah, sekali gus meningkatkan kebergantungan terhadap penyiraman berulang dalam pertanian bandar. Kajian ini memperkenalkan PineFiber Gel (PFG), iaitu hidrogel organik berasaskan serat daun nenas, sebagai medium penyerap dan pembekal kelembapan secara terkawal. Objektif inovasi ini adalah menukar sisa pertanian kepada hidrogel mesra alam yang mampu mengekalkan kelembapan medium tanaman bagi tempoh lebih lama serta mengurangkan kekerapan siraman. Penghasilan PFG melibatkan pencampuran serbuk serat daun nenas, gliserin food grade dan kanji tepung ubi kayu, sebelum dikapsulkan menggunakan membran separa telap telur puyuh. Keberkesanan PFG diuji melalui eksperimen peresapan air dalam medium pasir silika halus. Dapatan menunjukkan medium dengan PFG mengekalkan kelembapan lebih lama dengan peresapan air yang lebih perlahan dan sekata berbanding medium kawalan. Inovasi ini menyokong SDG 12 (Penggunaan Bertanggungjawab) dan SDG 15 (Hidupan Atas Darat) melalui pengurangan sisa pertanian dan pengurusan air yang cekap. Impak terhadap murid merangkumi penguasaan kemahiran STEM, penyelesaian masalah dan kesedaran kelestarian. Dari sudut komersial, PFG berpotensi diaplikasikan dalam pertanian bandar, landskap dan kit tanaman permulaan berasaskan sumber tempatan berkos rendah.
Kata Kunci: hidrogel, PineFiber Gel (PFG), serat daun nenas, pelepasan air terkawal, kelembapan tanah