YS2154: BRIEF-CON

NUR ALEESYA FATIHAH BINTI ROHAIMI KOLEJ VOKASIONAL IPOH

BRIEF-CON merupakan satu inovasi Nota Ringkas Bagi Kompetensi Mengendalikan Sesi Taklimat dibangunkan sebagai bahan bantu mengajar dan pembelajaran bagi meningkatkan kefahaman pelajar terhadap kompetensi mengendalikan sesi taklimat dalam Modul Penyeliaan Pembinaan Bangunan. Berdasarkan pemerhatian dan analisis pencapaian pelajar, didapati sebahagian pelajar menghadapi kesukaran untuk memahami kandungan modul yang melibatkan prosedur penyampaian taklimat, aspek komunikasi, penyediaan bahan taklimat serta pengurusan pelbagai aspek. Keadaan ini menyebabkan pelajar kurang yakin dan tidak dapat menguasai kompetensi yang ditetapkan secara optimum. Bagi mengatasi permasalahan tersebut, satu nota ringkas yang tersusun, padat dan mudah difahami telah dibangunkan dengan menggunakan pendekatan pembelajaran visual, infografik dan kata kunci yang memfokuskan kepada elemen-elemen penting kompetensi. Inovasi BRIEF-CON ini direka dalam bentuk yang mesra pengguna serta boleh diakses dengan mudah oleh pelajar semasa sesi pembelajaran, ulang kaji dan persediaan pentaksiran. Hasil penggunaan nota ringkas ini menunjukkan peningkatan dari aspek kefahaman, penguasaan kompetensi dan keyakinan pelajar semasa menjalankan sesi taklimat. Selain itu, pelajar lebih mudah mengingat langkah-langkah pelaksanaan taklimat serta mampu mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh dalam aktiviti amali dan pentaksiran berterusan. Kesimpulannya, inovasi BRIEF-CON berpotensi menjadi bahan rujukan yang efektif dalam menyokong proses pengajaran dan pembelajaran TVET, seterusnya meningkatkan pencapaian pelajar dalam Modul Penyeliaan Pembinaan Bangunan. Inovasi ini juga boleh diperluaskan penggunaannya kepada kompetensi lain yang memerlukan penguasaan prosedur kerja dan kemahiran komunikasi di tapak bina.