NUR AFIFAH BINTI MOHD RAZI KOLEJ VOKASIONAL PASIR PUTEH
Inovasi ini merupakan kajian lanjutan daripada formulasi krim penawar alternatif OIS Cream yang menggunakan bahan semula jadi bagi merawat dan melindungi kulit haiwan serta manusia. Produk ini dihasilkan melalui kaedah double boiler menggunakan bahan yang murah, mudah didapati dan mesra alam. Bahan utama yang digunakan ialah minyak kelapa sawit tempatan yang bertindak sebagai pelembap semula jadi serta berupaya menghalang pertumbuhan kulat pada kulit. Garam pula, dengan sifat hipertoniknya, berperanan sebagai agen pendehidratan yang efektif dalam membunuh mikrob. Bagi meningkatkan kelestarian alam dan mengurangkan kos pengeluaran, formulasi untuk kegunaan haiwan menggunakan minyak masak terpakai. Produk ini telah menjalani ujian kimia di makmal Universiti Malaysia Kelantan (UMK). Ujian keberkesanan turut dijalankan ke atas ayam kampung, kambing, biri-biri, kucing dan manusia. Hasil kajian menunjukkan proses penyembuhan berlaku dalam tempoh 14 hari, dengan kesan paling ketara terhadap jangkitan kurap pada kucing serta luka kecil pada haiwan. Produk ini juga didapati berkesan dalam mengurangkan bengkak pada benjolan kulit biri-biri. Ujian terhadap manusia menunjukkan krim ini sesuai digunakan sebagai pelembap badan, membantu memudarkan parut, serta berkesan merawat luka kecil, melecet dan masalah kulit seperti psoriasis, ekzema dan kulat air. Ia juga membantu meredakan kesan gigitan serangga, termasuk semut Charlie. Formulasi untuk kegunaan manusia diperkaya dengan penambahan kunyit sebagai agen antibakteria semula jadi, serta variasi aroma terpilih seperti pandan, limau purut dan pudina bagi meningkatkan keselesaan pengguna. Penambahbaikan turut dilakukan pada formulasi untuk menghasilkan tekstur krim yang sesuai disimpan dalam bentuk tiub, sekali gus mengurangkan risiko kontaminasi semasa pengendalian dan penyimpanan.