MUHAMMAD HARRAZ SYATHIBI BIN MOHD SUHAIRUL SEKOLAH KEBANGSAAN BUKIT RAYA
TISANE LESTARI: TISANE HERBA DENGAN PEMBUNGKUS EDIBEL BERINOVASI
Tisane merupakan minuman herba bebas kafein yang dihasilkan daripada pelbagai bahagian tumbuhan selain pokok teh, dan dikenali kerana khasiat kesihatannya. Kajian ini bertujuan untuk meneroka potensi lima jenis tisane herba tempatan iaitu Moringa, Mahkota Dewa, Bunga Telang, Buah Mulberi dan Roselle sebagai minuman kesihatan yang dibungkus menggunakan pembungkus edibel berinovasi dan mesra alam.
Persoalan kajian berfokus kepada kandungan fitokimia, manfaat kesihatan, reka bentuk pembungkusan edibel, serta tahap penerimaan pengguna. Hipotesis kajian menyatakan bahawa Tisane Lestari mengandungi kompaun aktif yang bermanfaat kepada kesihatan dan berpotensi tinggi untuk dikomersialkan sebagai produk lestari.
Kajian ini dilaksanakan melalui beberapa peringkat metodologi meliputi perolehan bahan mentah dan penyediaan sampel, reka bentuk dan penilaian pembungkus edibel, serta penghasilan Tisane Lestari.
Hasil kajian mendapati bahawa semua jenis tisane yang diuji mengandungi kompaun aktif seperti antioksidan dan antiradang. Ujian sensori menunjukkan tahap penerimaan yang baik dalam kalangan pengguna terhadap rasa, tekstur dan pembungkusan. Selain itu, analisis pH dan ujian fizikal ke atas pembungkus membuktikan bahawa ia selamat dan sesuai digunakan.
Secara keseluruhan, kajian ini merumuskan bahawa Tisane Lestari berpotensi sebagai minuman kesihatan yang inovatif, menyihatkan dan menyokong kelestarian alam sekitar. Inovasi ini berupaya memperkukuh industri herba tempatan dan menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam masyarakat.
Kata kunci: tisane herba, bebas kafein, pembungkus edibel berinovasi, kompaun altif, minuman kesihatan, kelestarian
our Abstract Here!