SS2305: MODEL KAPTA

MISHALANI A/P RAJU Universiti Pendidikan Sultan Idris

Model KAPTA merupakan satu inovasi yang menekankan pendekatan adaptif yang dibangunkan khusus bagi membantu murid sekolah rendah, terutamanya dalam kelas bercantum, menguasai kata arah dalam aspek tatabahasa Bahasa Melayu secara lebih sistematik dan menarik. Inovasi ini memberi tumpuan khusus kepada topik kata arah memandangkan unsur ini penting dalam penggunaan bahasa secara lisan dan penulisan, namun sering menjadi cabaran kepada murid untuk difahami dan diaplikasikan dengan tepat. Berdasarkan pemerhatian awal dalam bilik darjah, didapati bahawa murid mempunyai tahap keupayaan yang berbeza dan sukar didekati melalui kaedah pentaksiran tradisional yang bersifat seragam.

Justeru, Model KAPTA diperkenalkan sebagai pendekatan digital berasaskan pentaksiran berperingkat yang menggunakan sistem ganjaran bintang, disertakan dengan pelbagai elemen interaktif seperti kuiz adaptif, paparan grafik yang menarik, dan penggunaan suara. Aplikasi ini dibina melalui platform Thunkable dan boleh dimuat turun dalam bentuk fail APK bagi membolehkan penggunaannya secara luar talian, sekali gus sesuai digunakan di kawasan yang mempunyai capaian internet terhad. Di samping itu, pemantauan prestasi murid dijalankan secara berterusan melalui integrasi dengan platform ClassDojo.

Penggunaan Model KAPTA bukan sahaja menjadikan proses pembelajaran lebih menyeronokkan dan berpusatkan murid, malah membolehkan guru melaksanakan pentaksiran formatif dengan lebih efisien tanpa mengabaikan kepelbagaian tahap penguasaan murid. Dapatan awal menunjukkan peningkatan ketara dalam penguasaan murid terhadap kata arah serta tahap motivasi dan penglibatan mereka dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Selain dapat mengurangkan beban guru dalam penyediaan bahan pentaksiran manual, inovasi ini juga berpotensi untuk diperluaskan kepada mata pelajaran lain dan dikomersialkan sebagai produk pendidikan digital yang bersifat responsif, khususnya untuk persekitaran pembelajaran berbilang tahap dan luar bandar sejajar dengan kehendak pendidikan abad ke-21.