AZLINDA BINTI TUAH KOLEJ MATRIKULASI LABUAN
Inovasi My Vector Kit dibangunkan bertujuan membantu pelajar matrikulasi memahami konsep vektor dalam ruang tiga dimensi yang sering dianggap sukar dan abstrak. Inovasi ini direka bentuk menggunakan pendekatan visual, kinestetik dan digital melalui penggunaan flipbook mini, aktiviti fizikal grid 3D, serta sokongan Augmented Reality dan GeoGebra 3D. Berasaskan Model Reka Bentuk Pengajaran ADDIE, inovasi ini dilaksanakan dalam lima fasa yang terancang. Seramai 11 orang pelajar Program Matrikulasi Sains telah terlibat sebagai responden. Instrumen kajian terdiri daripada ujian pra dan pasca, serta soal selidik kepuasan pelajar. Kaedah pelaksanaan memberi keutamaan kepada penglibatan aktif pelajar di mana mereka sendiri menjalankan aktiviti seperti menjejaki sesaran dalam ruang, membina satah menggunakan GeoGebra dan meneroka arah hasil silang melalui simulasi harian. Aktiviti disusun secara naratif dengan elemen cabaran dan misi bagi mengekalkan kesinambungan antara fasa. Dapatan menunjukkan peningkatan pemahaman konsep dengan peningkatan markah purata dalam ujian pra 49.64% kepada 88% dalam ujian pasca. Tahap minat pelajar juga meningkat terhadap topik vektor berdasarkan soal selidik yang dijalankan. Implikasinya, inovasi ini berpotensi menjadi bahan bantu mengajar yang praktikal, menyeronokkan dan berkesan dalam meningkatkan penguasaan pelajar terhadap konsep vektor 3D.