NUR FARHANAZ SHAH BINTI SHAH ZAMIN SMK GOMBAK SETIA
Kajian tindakan ini dijalankan untuk membantu murid Tingkatan 5 di SMK Gombak Setia dalam subtopik Cukai Pendapatan bagi mata pelajaran Matematik. Kajian ini melibatkan 8 orang murid daripada kelas 5 Ibnu Arabi yang menghadapi kesukaran menjawab soalan berkaitan Cukai Pendapatan dalam peperiksaan. Refleksi awal menunjukkan murid sering keliru ketika mengekstrak maklumat penting daripada soalan, tidak dapat membezakan istilah penting serta melakukan kesalahan meletakkan nilai rebat dalam pengiraan. Oleh itu, kajian ini bertujuan meningkatkan penguasaan murid melalui penggunaan teknik “PoKiBa: Potong, Kira, Bayar”. Teknik ini menggunakan pendekatan langkah demi langkah untuk membantu murid memahami kehendak soalan dan mengira secara sistematik. Pelaksanaan intervensi melibatkan latihan berfokus, pemerhatian prestasi individu serta ujian pra dan pasca. Hasil kajian menunjukkan peningkatan ketara dalam pencapaian murid selepas menggunakan teknik PoKiBa, selaras dengan objektif meningkatkan penguasaan murid sekurang-kurangnya sebanyak 40%. Kajian ini membuktikan bahawa teknik PoKiBa dapat membantu murid memahami konsep Cukai Pendapatan dengan lebih mudah dan seterusnya meningkatkan keupayaan mereka menyelesaikan soalan berkaitan dengan lebih tepat.