NUR AIN AQILAH BINTI MOHD YURZIE IRWAN SMK RAJA JUMAAT
Abstrak ini membincangkan inovasi Kit Perakaunan Interaktif yang dibangunkan bagi meningkatkan pemahaman murid Tingkatan 4 dalam mata pelajaran Prinsip Perakaunan, khususnya dalam aspek mengklasifikasi elemen perakaunan dan sub akaun induknya serta memahami hubungan antara elemen dalam persamaan perakaunan. Kit ini mengandungi batang kayu berwarna sebagai representasi visual elemen aset, liabiliti dan ekuiti pemilik, kad transaksi perniagaan yang memaparkan situasi urus niaga, kertas A4 sebagai ruang klasifikasi, bekas kotak kecil untuk pengasingan bahan, serta rubrik penilaian bagi menilai tahap penguasaan murid. Dari segi metodologi, murid dibahagikan kepada kumpulan kecil dan menjalankan aktiviti pengelasan transaksi secara interaktif dengan menggunakan kad transaksi dan batang kayu untuk membantu mereka mengenal pasti serta menghubungkan elemen perakaunan dalam persamaan perakaunan secara lebih konkrit dan sistematik. Pendekatan manipulatif dan visual ini membantu murid membina pemahaman secara berperingkat melalui aktiviti berulang, perbincangan kumpulan dan pembetulan kendiri. Seramai 15 orang murid terlibat dalam inovasi ini, dan data dikumpul melalui perbandingan pencapaian latihan sebelum dan selepas intervensi serta pemerhatian terhadap penglibatan murid. Dapatan menunjukkan bahawa peningkatan pencapaian hanya berlaku selepas beberapa kali latihan dan pendedahan berulang menggunakan kit ini, yang membuktikan pengukuhan konsep berlaku secara progresif. Secara keseluruhannya, Kit Perakaunan Interaktif berjaya meningkatkan kefahaman konsep asas perakaunan, memperkukuh kemahiran klasifikasi akaun serta menggalakkan pembelajaran aktif dan kolaboratif dalam kalangan murid.