NOOR FATIN HUSNA BINTI MUHAMAD ZURAIMI SMK PETALING
Pencemaran air akibat pengumpulan bahan organik, sisa makanan, minyak, dan enap cemar dalam sistem saliran merupakan isu yang semakin membimbangkan kerana boleh menyebabkan peningkatan nilai Biochemical Oxygen Demand (BOD), bau yang tidak menyenangkan serta kemerosotan kualiti air. Sehubungan itu, projek LactoClean telah dibangunkan sebagai satu inovasi mesra alam berasaskan bioteknologi melalui penghasilan serum bakteria Lactobacillus sp. yang berfungsi sebagai agen bioremediasi untuk merawat air sisa dan mengurangkan pencemaran organik. Serum LactoClean dihasilkan melalui proses fermentasi bahan semula jadi seperti beras, susu dan gula merah yang bertindak sebagai medium pembiakan bakteria Lactobacillus sp. Mikroorganisma berfaedah ini berupaya mempercepatkan proses penguraian bahan organik, mengurangkan bau busuk serta meningkatkan kualiti air. Keberkesanan LactoClean diuji melalui aplikasi pada sampel air tercemar dan sistem saliran terpilih dengan memerhati perubahan warna, bau, tahap kekeruhan serta kadar penguraian bahan organik. Hasil pemerhatian menunjukkan penggunaan LactoClean berjaya mengurangkan bau yang tidak menyenangkan, meningkatkan kejernihan air dan mempercepatkan pereputan bahan organik berbanding sampel kawalan. Projek ini bukan sahaja menawarkan penyelesaian yang kos efektif dan lestari terhadap masalah pencemaran air, malah dapat meningkatkan kesedaran masyarakat tentang penggunaan teknologi hijau dan mikroorganisma berfaedah dalam pengurusan alam sekitar. Oleh itu, LactoClean berpotensi menjadi alternatif mesra alam dalam rawatan air sisa dan pemulihan sistem saliran di peringkat komuniti serta institusi pendidikan.