SITI NUR ALEESYA BINTI MAHADZIR SMK LABU BESAR
Inovasi "Petua Orang Tua – POT" merupakan penambahbaikan kreatif terhadap amalan tradisional dalam mengesan gangguan bekalan elektrik semasa penghuni rumah tiada, khususnya ketika bercuti dalam tempoh yang lama. Isu utama yang dihadapi ialah kesukaran untuk mengetahui sama ada bekalan elektrik telah terputus sepanjang ketiadaan, yang boleh menjejaskan kesegaran dan keselamatan makanan mentah dalam peti sejuk.
Berinspirasikan petua lama yang meletakkan duit syiling di atas ais beku dalam cawan, inovasi ini menggunakan botol kaca lutsinar bertutup anti bocor yang diisi air dan duit syiling, kemudian dibekukan dalam keadaan duit syiling berada di dasar. Untuk digunakan, botol hanya perlu diterbalikkan. Jika ais cair akibat gangguan elektrik, duit syiling akan bergerak ke bahagian lain botol—memberi petunjuk jelas bahawa suhu dalam peti sejuk telah berubah.
Antara kelebihan POT berbanding petua tradisional ialah reka bentuknya yang lebih kemas, selamat dan mudah digunakan berulang kali tanpa perlu mencairkan ais terlebih dahulu. Botol lutsinar memudahkan pemantauan visual, manakala penandaan pada dinding botol dapat membantu pengguna menilai tahap perubahan dengan lebih tepat. Inovasi ini menawarkan penyelesaian praktikal, kos rendah dan mesra pengguna dalam memastikan keselamatan makanan dan ketenangan minda semasa ketiadaan di rumah.