Loshny A/P Pannirselvam SMK Taman Sri Muda
Kerosakan makanan akibat penguraian mikrob merupakan salah satu faktor utama yang menyumbang kepada keracunan makanan dan pembaziran makanan domestik di seluruh dunia. Kaedah konvensional untuk mengesan gas ammonia sebagai penunjuk kerosakan makanan kaya protein seperti kromatografi gas dan analisis spektroskopi menawarkan sensitiviti yang tinggi, namun memerlukan instrumen canggih serta kepakaran makmal yang membataskan penggunaannya oleh masyarakat umum. Kajian ini membangunkan Meatify, iaitu penunjuk kerosakan makanan lestari berasaskan ekstrak Clitoria ternatea yang kaya dengan antosianin bagi pengesanan ammonia secara pantas. Inovasi ini memanfaatkan sifat sensitif pH antosianin yang mengalami perubahan struktur daripada kation flavylium kepada bes kuinoid apabila terdedah kepada gas ammonia beralkali, sekali gus menghasilkan perubahan warna daripada biru kepada hijau. Ujian keberkesanan menunjukkan Meatify berjaya mengenal pasti pereputan sampel ayam melalui perubahan warna yang jelas selari dengan aktiviti penguraian mikrob. Berbanding penunjuk kimia konvensional, Meatify menawarkan alternatif biodegradasi, kos rendah, dan mesra pengguna tanpa melibatkan bahan sintetik berbahaya. Inovasi ini menyumbang kepada peningkatan keselamatan makanan serta menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 3 dan 12 melalui perlindungan kesihatan awam dan penggunaan lestari teknologi pemantauan makanan.