YS391: Haemolink

Fatkhiyah Binti Mohd Ridluwan SMK GOMBAK SETIA

VIC26 | Young Scientist

CR: 0.0000 | 0 Likes | 4 Views | 2 times | LS: 2.0
Like it? | Support them now!

Pembelajaran topik pembekuan darah dalam Biologi Tingkatan 4 sering kali menjadi cabaran bagi pelajar kerana konsepnya yang kompleks dan melibatkan banyak proses biokimia yang sukar difahami. Ramai pelajar menghadapi kesukaran untuk memahami bagaimana platelet, fibrin dan beberapa faktor pembekuan bekerjasama dalam proses tersebut. Keadaan ini boleh menyebabkan pelajar mudah keliru, hilang minat untuk belajar dan seterusnya menjejaskan prestasi mereka dalam ujian atau peperiksaan. Jika masalah ini tidak ditangani dengan baik melalui penerangan yang jelas, pelajar mungkin akan terus menghadapi kesukaran memahami topik berkaitan mekanisme pembekuan darah serta gagal menguasai konsep penting yang diperlukan untuk pembelajaran di tahap yang lebih tinggi di masa akan datang.
Bagi mengatasi masalah tersebut, satu permainan papan bertemakan pembekuan darah telah dibangunkan sebagai bahan bantu pembelajaran yang interaktif dan menyeronokkan. Permainan ini direka berdasarkan konsep proses pembekuan darah seperti pengaktifan platelet, pembentukan fibrin dan pembentukan bekuan darah. Melalui aktiviti bermain, pelajar dapat mempelajari setiap peringkat mekanisme pembekuan darah secara lebih mudah dan sistematik. Selain itu, pendekatan pembelajaran berasaskan permainan ini dapat meningkatkan minat, penglibatan dan pemahaman pelajar terhadap topik tersebut. Sistem ini menggunakan papan permainan, dua set kad nasib pemain dan satu set kad misi. Sepanjang permainan, pemain perlu bergerak di atas papan permainan dan menjawab soalan berkaitan proses pembekuan darah serta konsep Biologi yang berkaitan untuk mendapatkan kad misi. Aktiviti ini membantu pemain memahami urutan proses pembekuan darah dan istilah penting dalam topik tersebut. Pemain dikehendaki mengumpul satu set kad misi yang lengkap berkaitan proses pembekuan darah untuk menamatkan permainan.
Permainan ini memberi kelebihan kepada pelajar kerana dapat membantu mereka memahami konsep pembekuan darah dalam Biologi dengan cara yang lebih menarik dan interaktif. Melalui aktiviti menjawab soalan dan mengumpul kad misi, pelajar dapat mengukuhkan pemahaman terhadap proses serta istilah penting yang berkaitan dengan topik tersebut. Selain itu, permainan ini juga dapat meningkatkan minat, motivasi dan penglibatan aktif pelajar semasa pembelajaran. Secara keseluruhannya, pelajar dapat mengingati maklumat dengan lebih mudah, meningkatkan tahap pemahaman serta membantu meningkatkan prestasi mereka dalam pembelajaran Biologi.