MUHAMMAD HAIKAL BIN MOHD AKHMAR KOLEJ VOKASIONAL ( PERTANIAN ) TELUK INTAN
Kajian ini dijalankan bagi mereka bentuk dan membangunkan sebuah Reka Bentuk dan Penghasilan Mesin Penekan Silaj untuk kegunaan Unit Agroindustri Ternakan Ruminan, Kolej Vokasional(Pertanian) Teluk Intan. Pembangunan mesin ini bertujuan membantu Unit Ternakan Ruminan serta penternak berskala kecil dalam memudahkan proses pemampatan bahan tanaman seperti pelepah sawit, daun sawit, rumput dan napier bagi menghasilkan silaj yang lebih berkualiti dan tahan lama.Silaj merupakan makanan ternakan yang dihasilkan melalui proses penapaian bahan hijauan dalam keadaan anaerobik, iaitu tanpa kehadiran oksigen. Proses ini bertujuan mengekalkan kandungan nutrien dalam bahan tanamanserta mengelakkan kerosakan akibat pertumbuhan kulatatau bakteria berbahaya. Silaj yang baik mempunyaitekstur yang padat, warna kehijauan atau kekuningan, berbau masam yang menyenangkan dan tidak berkulat. Penyediaan silaj amat penting bagi memastikan bekalan makanan ternakan sentiasa mencukupi, terutamanyaketika musim kemarau atau kekurangan sumber rumput segar, sekali gus membantu meningkatkan kesihatandan produktiviti ternakan ruminan seperti lembu dan kambing.Walau bagaimanapun, kaedah pemampatan secara manual menggunakan tenaga kaki didapati kurang efisien kerana memerlukan tenaga fizikal yang tinggi dan masa yang panjang. Keadaan ini menyukarkan proses penyediaan silaj dilakukan secara konsisten dan dalam kuantiti yang banyak. Oleh itu, mesin penekan silaj yang dibangunkan ini mampu memampatkan bahan silaj sehingga anggaran 70 kilogram (kg) bagi setiap proses. Reka bentuknya berasaskan konsep mesin penekan sedia ada di pasaran dan disesuaikan dalam bentuk yang lebih kompak dengan ukuran kira-kira 3 kaki panjang dan 5 kaki tinggi, sesuai untuk ruang kerja yang terhad. Mesin ini turut dilengkapi dengan roda dan pemegang bagi memudahkan pergerakan serta pengendalian. Dapatan menunjukkan mesin ini memudahkan proses pemampatan, menjimatkan masa dan mengurangkanpenggunaan tenaga fizikal, di samping meningkatkan kefahaman pelajar terhadap aplikasi teknologi dalam penternakan.