ST1094: SMART WUDHUK WITH WATER SAVING’S SPIGOT HANDLE LOCK (WATER SPIGOT 2.0)

MOHAMAD MOSTAHDI BIN BASRUDIN POLITEKNIK SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH

Wudhuk ialah amalan penyucian diri yang wajib dilakukan oleh setiap Muslim sebelum menunaikan solat dengan menggunakan air untuk membasuh anggota tertentu seperti muka, tangan, kepala dan kaki. Namun, penggunaan air secara berlebihan ketika berwudhuk masih berlaku di surau dan masjid akibat aliran air yang tidak dikawal, sekali gus menyebabkan pembaziran air dan peningkatan kos bil air. Bagi mengatasi masalah ini, inovasi Kunci Pemegang Spigot (Water Spigot 2.0) dibangunkan sebagai alat kawalan aliran air yang mengehadkan putaran kepala paip supaya aliran air berada pada kadar optimum semasa berwudhuk. Produk ini serasi digunakan pada empat jenis pili air utama iaitu pili angsa, pili bebola, bib tap dan pili PVC. Ia diperbuat daripada bahan Thermoplastic Polyurethane (TPU) yang tahan lasak, fleksibel dan sesuai untuk persekitaran lembap serta mempunyai reka bentuk ergonomik bagi memudahkan kawalan aliran air. Kajian ini telah dijalankan di Surau Al-Bulkhary, Laman Glenmarie, melibatkan seramai 36 orang responden bagi menilai keberkesanan penggunaan alat Water Spigot 2.0 dalam mengawal penggunaan air semasa wudhuk. Hasil kajian menunjukkan bahawa 97.2% responden bersetuju aliran air lebih terkawal apabila menggunakan alat ini, manakala 100% responden bersetuju alat ini membantu menjimatkan air semasa wudhuk. Selain itu, ujilari turut merekodkan pengurangan penggunaan air sebanyak 62.5%, membuktikan keberkesanan alat ini dalam meningkatkan kecekapan penggunaan air. Secara keseluruhannya, penggunaan Water Spigot 2.0 berpotensi mengurangkan pembaziran air, meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penggunaan air secara berhemah serta menyokong Matlamat Pembangunan Lestari SDG 6 (Clean Water and Sanitation) dan SDG 12 (Responsible Consumption and Production).

Kata Kunci: Penjimatan, Wudhuk, Spigot, Pembangunan Lestari, Kawalan Aliran Air