Naufal Aqasha Bin Mohd Khairulnizam SMK TUN FATIMAH HASHIM
Inovasi Miracle Vempu Soap ini adalah bertujuan untuk merawat kulit sensitif dan penyakit kulit seperti ekzema, gatal-gatal, kudis dan kulit kering. Kebelakangan ini, bilangan manusia yang menghidapi masalah penyakit kulit semakin meningkat kerana kebanyakan sabun yang dijual dipasaran mengandungi bahan kimia yang membahayakan kulit seperti 1,4 Dioksan, Sodium Lauryl Sulfate dan triklosan. Oleh itu, Miracle Vempu Soap tersebut dihasilkan dengan menggunakan bahan-bahan organik untuk meminimumkan kadar masalah penyakit kulit. Antara bahan-bahan yang digunakan adalah minyak, air suling, sabun gliserin, minyak pati, daun pokok semambu dan daun pokok kelor. Daun pokok semambu dan daun pokok kelor dimasukkan ke dalam sabun kerana mempunyai pelbagai khasiat pada kulit dan dipercayai dapat merawat penyakit kulit. Antaranya, Azadirachta Indica atau dikenali sebagai pokok semambu dapat melegakan ekzema, alahan kulit, ruam, gatal dan kurap serta dikatakan dapat merawat kecederaan kulit akibat terbakar. Seterusnya, Moringa oleifera atau dikenali sebagai pokok kelor mengandungi vitamin A dan C yang dapat merangsang produksi kolagen yang membolehkan penggantian sel dan pembaikan kulit. Penggunaan sabun organik ini dapat mengurangkan kemerahan dan kegatalan kepada kulit kerana tidak mempunyai bahan kimia yang dapat membahayakan kulit.