ST2138: BIOFLORA PESTICIDE

MEGAT IKHWAN RAFI BIN NORAZHA KOLEJ VOKASIONAL (P) TELUK INTAN

Kepinding juga dikenali sebagai kutu busuk tanaman atau 'stink bug' ialah sejenis serangga penghisap cecair daun dan batang yang boleh menyebabkan kerosakan serius pada sayuran. Kehadiran kepinding pada tanaman kangkung menyebabkan kerosakan pada daun, menurunkan kualiti dan hasil tanaman,serta mengganggu pertumbuhan normal tanaman. Penggunaan racun serangga kimia untuk kawalan kepinding telah meningkatkan kebimbangan mengenai kesihatan manusia, pencemaran alam sekitar dan kerosakan ekosistem. Bioflora Pesticide merupakan racun organik dalam menghalau kepinding (Cimex spp.) yang menyerang tanaman sayuran , khususnya kangkung (Ipomea aquatica). Penghasilan Bioflora Pesticide menggunakan beberapa bahan semulajadi seperti kulit pokok Goniothalamus malayanus, bawang putih, cili padi ,minyak kelapa dara dan sabun herba untuk menghasilkan racun organik yang berkesan dalam menghalau kepinding. Penghasilan produk ini melalui 2 proses utama iaitu penghasilan pati bioflora pesticide dan fasa penyediaan larutan bioflora pesticide. Bioflora pesticide telah dihasilkan oleh unit Hortikultur KV(P)TI untuk menjadi racun organik bagi menghalau dan mematikan kepinding pada tanaman kangkung. Kesan penggunaan bioflora pesticide telah menyebabkan kadar kehadiran kepinding berkurang, pertumbuhan pokok kangkung yang sihat dan seragam dan mengelakkan pencemaran alam sekitar kerana tiada penggunaan bahan kimia.