YS543: POWDERED SUGARCANE BOARD (PSB)

MUHAMAD NABIL BIN ITHNEN SMK TUN FATIMAH HASHIM

VIC25 | Young Scientist

CR: 0.0000 | 0 Likes | 3 Views | 17 times | LS: 17.0
Like it? | Support them now!

Produk inovasi Powdered Sugarcane Board (PSB) merupakan produk papan gentian yang telah dihasilkan daripada hampas tebu. Hampas tebu merupakan bahan buangan hasil daripada proses pengekstrakan air tebu. Hampas tebu adalah fiber yang memiliki ciri-ciri seperti tebal, liat, kuat 
dan mempunyai rintangan lelasan yang tinggi antara faktor dalam pemilihan bahan bagi projek inovasi ini sejajar dengan piawaian SDG 12: Penggunaan dan penghasilan yang bertanggungjawab (Responsible Consumption and Production). Seiring dengan perkembangan ekologi yang membataskan penggunaan bahan mentah semula jadi dalam bidang bahan binaan, penggunaan hampas tebu menjadi bahan alternatif yang mampu menghadkan aktiviti penebangan pokok yang mengakibatkan penggondolan dan kemusnahan hutan. Objektif penghasilan produk ini bertujuan untuk mengurangkan aktiviti penebangan pokok sebagai sumber penghasilan kayu dan papan agar ekosistem kekal terjaga. Selain itu, memanfaatkan penggunaan hampas tebu dengan lebih efektif bagi menghasilkan papan yang diperbuat daripada sisa domestik iaitu hampas tebu dan bahan plastik yang boleh dikitar semula serta mesra alam. Hal ini secara tidak langsung, dapat membentuk kesedaran dalam diri masyarakat berkaitan manfaat dari bahan sisa buangan ini sekaligus dapat mengurangkan kos penghasilan papan. Antara kelemahan papan gentian yang sedia ada di pasaran adalah seperti mudah menyerap air, mudah lapuk disebabkan kelembaban serta tidak boleh mengikat paku atau skru terlalu kuat telah menjadi dorongan terhasilnya inovasi produk ini. Produk ini diuji dari empat aspek iaitu resapan air, kekuatan, ketegangan dan ketahanan terhadap anai-anai. Hasil uji kaji mendapati produk ini menyerap hanya 6.46% air setelah direndam selama 24 jam dan mampu menahan bebanan sehingga 50 kg pada satu masa. Selain itu, ujian ke atas ketegangan mendapati bahawa papan yang dihasilkan mampu mencapai tekanan sehingga 2030.17 N. Manakala ketahanan terhadap anai-anai yang dijalankan selama 24 jam menunjukkan produk ini tidak langsung dimakan oleh anai-anai. Rancangan penambahbaikan yang akan dilakukan ialah dengan menambah bahan sisa pepejal seperti tandan kelapa sawit bagi menguatkan lagi ketahanan papan ini.