SS2222: KIT JODOH PINTAR

SHALENI A/P PAANDIYAN UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS

Inovasi Jodoh Pintar merupakan satu kit pembelajaran interaktif yang dibangunkan khusus bagi membantu murid Tahun 3 menguasai topik penjodoh bilangan dalam subjek Bahasa Melayu. Berdasarkan dapatan awal di dalam bilik darjah, didapati bahawa ramai murid menghadapi kesukaran mengenal pasti dan menggunakan penjodoh bilangan dengan betul dalam konteks ayat. Tambahan pula, kaedah pengajaran tradisional dilihat kurang menarik minat murid untuk memahami konsep ini secara mendalam. Oleh itu, Jodoh Pintar diperkenalkan sebagai satu pendekatan inovatif berasaskan permainan, dengan pelbagai komponen seperti kad bergambar, helaian pengelasan, aktiviti fizikal dan digital termasuk kuiz interaktif melalui aplikasi Quizizz.

Melalui penggunaan kit ini, murid dapat melibatkan diri secara aktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang menyeronokkan, berpusatkan murid serta selaras dengan amalan Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21). Kajian awal menunjukkan peningkatan ketara dalam penguasaan murid terhadap penggunaan penjodoh bilangan serta tahap motivasi belajar yang lebih tinggi. Selain memanfaatkan strategi pengajaran yang kreatif, kit ini juga dapat menjimatkan masa guru dalam penyediaan bahan bantu mengajar. Jodoh Pintar mempunyai potensi untuk dikembangkan dan dikomersialkan secara bercetak atau digital sebagai alat bantu mengajar yang efektif di sekolah rendah. Inovasi ini diharapkan dapat menjadi penyelesaian praktikal kepada masalah pembelajaran tatabahasa di peringkat rendah secara holistik dan berkesan.