DR. ROSMAWATI BINTI MOHAMED INSTITUT PENDIDIKAN GURU KAMPUS SULTAN MIZAN
Pengukuran antarabangsa TIMSS 2023 menunjukkan trend penurunan minat belajar matematik yang ketara dalam kalangan murid. Isu utama kesukaran murid mengaitkan konsep abstrak dengan kehidupan harian. Keadaan ini menyebabkan kegagalan memahami konsep dengan mudah, pembelajaran jadi tidak bermakna, dan kemahiran berfikir logik serta kefahaman nilai murni murid juga lemah. Oleh itu, pembangunan laman web MathTour penting sebagai medium pembelajaran matematik yang interaktif, kontekstual dan mudah diakses oleh guru, ibu bapa serta murid.
Tujuan kajian ini adalah untuk meneroka proses penghasilan serta menilai keberkesanan penggunaan MathTour yang mengandungi video interaktif yang diselitkan dalam satu laman web khusus.
Kajian ini menggunakan reka bentuk kajian kes dengan pendekatan kualitatif. Tiga keluarga yang merupakan tiga orang penjaga terdiri daripada ibu atau bapa serta 6 orang murid dalam kalangan anak-anak mereka di peringkat sekolah rendah terlibat dalam kajian ini. Data dikumpulkan melalui refleksi peserta, temu bual tidak berstruktur, dan analisis bahan audio visual seperti data daripada YouTube selain proses yang berlaku sepanjang penghasilan dan penggunaan laman web MathTour diteliti.
Dapatan kajian menunjukkan MathTour sebuah platform pembelajaran interaktif dua hala, yang dapat memberikan kefahaman matematik melalui situasi seharian yang berlaku di samping menggalakkan pemikiran logik dan sistematik serta mengukuhkan nilai murni dalam konteks pembelajaran matematik. Namun, kajian ini terhad kepada saiz sampel yang kecil dan pelaksanaan pengumpulan data dalam kalangan peserta terpilih sahaja.
Secara praktikal, MathTour berpotensi sebagai sumber pembelajaran yang dapat membantu guru, murid dan ibu bapa mendidik secara efektif, fleksibel, dan selaras dengan amalan pedagogi semasa yang menekankan pembelajaran kontekstual dan digital tanpa mengabaikan penerapan nilai merentas kurikulum.